Dari Radzak Brothers Ke Insa Brothers
- Harimau Malaya
- Mar 15, 2018
- No comment
Peminat bola sepak tanah air akan melihat kelibat pasangan adik-beradik berdarah campuran iaitu Kiko Insa dan Natxo Insa bermain bersama-sama untuk pasukan kebangsaan apabila mereka berdua dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat yang akan bermula pada 18 Mac ini. Penyenaraian Natxo adalah perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat kerana mereka berpendapat beliau mampu untuk memberi perbezaan kepada permainan skuad kebangsaan kali ini. Akan tetapi, ini bukan kali pertama kita melihat pasangan adik-beradik bermain untuk skuad kebangsaan. Sebelum ketibaan Kiko dan Natxo, kita telah melihat kelibat Aidil Zafuan Abdul Razak dan Zaquan Adha Abdul Razak mewakili Malaysia. Dengan itu, mari kita kupas sedikit berkenaan kedua-dua pasangan brothers ini.
Sumber Gambar: Mynewshub
Aidil dan Zaquan sudah memenangi beberapa kejayaan bersama skuad kebangsaan. Kedua-dua pemain menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009. Sebelum itu, kedua-duanya juga menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia yang memenangi kejohanan Pesta Bola Merdeka pada 2007. Aidil dan Zaquan juga selalu menjadi pilihan untuk tampil bersama skuad kebangsaan. Namun, kecederaan Zaquan merenceatkan karier penyerang ini bersama pasukan Malaysia. Setelah Zaquan mengalami kecederaan, kita hanya melihat kelibat Aidil yang selalu bermain bersama pasukan kebangsaan.
Akan tetapi, zaman kegemilangan adik-beradik Radzak ini sudah berlalu. Kini, kita akan disajikan dengan persembahan adik-beradik Insa untuk memberi perbezaan bersama pasukan Malaysia. Besar harapan yang diletakkan peminat bola sepak negara di bahu Natxo dan juga Kiko. Terutamanya Natxo Insa yang dianggap sebagai pemain tengah berkaliber serta berpengalaman yang mampu untuk memberi nafas baru skuad kebangsaan kita.
Mampukah Insa Brothers ini memberi kejayaan seperti adik-beradik Radzak berikan kepada Malaysia sebelum ini ? Jawapan kepada persoalan tersebut kita harus tunggu sehingga bermulanya temasya Piala AFF Suzuki pada akhir tahun ini. Ini kerana temasya Piala AFF dilihat satu medan yang baik untuk membuktikan bahawa kedua-dua pemain ini mampu untuk bermain dengan baik buat Malaysia.
Apa pandangan anda mengenai tersenarainya Insa Brothers ini ? Adakah dengan kehadiran mereka mampu untuk memulihkan maruah skuad kebangsaan yang telah tercalar ?
Baca Juga: Skuad Kebangsaan Kali Ini Lebih Meyakinkan!