Datuk K.Rajagopal Mungkin Digantung
- Liga Super
- Feb 3, 2019
- No comment
Ketua jurulatih pasukan PKNS FC, Datuk K.Rajagopal berdepan risiko digantung perlawanan jika didapati bersalah menceroboh ke dalam padang ketika permainan sedang berlangsung.
Pada perlawanan menentang pasukan Terengganu FC Jumaat lalu, Rajagopal meluru memasuki padang pada minit ke-70 dan membantah keputusan pengadil yang meneruskan perlawanan ketika ada pemain PKNS sedang mengalami kecederaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP Md. Dali Wahid berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada komisioner perlawanan.
“Kami menunggu laporan daripada Komisioner perlawanan dan saya perlu meneliti rakaman video insiden tersebut kerana tidak berada di tempat kejadian.
“Begitupun sekiranya didapati bersalah, penggantungan perlawanan boleh dikenakan, namun keputusan hanya ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM (Persatuan Bola Sepak),” kata Dali Wahid kepada Utusan Malaysia.
Jika didapati bersalah, Rajagopal mungkin digantung daripada berada di bangku simpanan pasukan pada perlawanan liga yang seterusnya.
Selepas tamat perlawanan, bekas pengendali skuad kebangsaan ini menjelaskan tindakan beliau memasuki padang adalah kerana mahu menenabgkan keadaan.
Katanya, dia terpanggil berbuat demikian bagi mengelak perlawanan menjadi lebih panas susulan gelagat import tuan rumah, Igor Zonjic yang tiba-tiba meluru ke arah pemainnya.
“Saya tidak pernah buat perkara sebegini seumur hidup saya. Ketika itu, saya nampak Igor dalam situasi dari bawah nak tolak pemain, saya fikir dalam situasi itu mungkin akan jadi lebih teruk.
“Hanya sebab itulah saya nak pergi beritahu dia kenapa berbuat demikian. (jurulatih Terengganu) Irfan Bakti (Abu Salim) pun terkejut dan meminta maaf kepada saya selepas permainan. Saya Okey,” tambahnya.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat lalu, PKNS FC hampir membawa pulang tiga mata penuh apabila mereka berada di hadapan menerusi jaringan pemain pertahanan, Nick Swirad pada minit ke-65.
Namun, pemain sayap Terengganu FC, Abdul Malik Mat Ariff berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir perlawanan sekaligus memaksa The Red Ants terpaksa berpuas hati dengan hanya satu mata dibawa pulang ke Shah Alam.
Baca Juga: Akram Mahinan Sertai PKNS FC