Datuk Ong Kim Swee Mahu Rombak Bahagian Tengah

Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan beliau akan membuat perubahan di bahagian tengah pasukan memandangkan beberapa pemain yang dipanggil sebelum ini tidak mendapat pelepasan daripada pasukan negeri dan kelab masing-masing.

Seramai lima pemain yang dipanggil Kim Swee bagi menyertai pasukan bagi menghadapi kejohanan Piala AFF Bawah 22 Tahun di Kemboja. Lima pemain yang dimaksudkan ialah Fai­sal Abdul Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor), Fadzrul Danel Nizam (Kedah) serta Muhammad Danial Amier Norhi­sham dan Muhammad Zahril Azri (Felda United).

Ketika ini, Kim Swee hanya mempunyai dua pemain tengah iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhammad Danial Haqim Draman. Perkara ini jelah merunsingkan beliau memandangkan sepak mula kejohanan tersebut akan bermula pada Ahad ini.

“Agak merunsingkan saya ketika ini adalah bahagian tengah kerana kami hanya ada dua pemain iaitu Nik Akif dan Danial.

“Saya akan memanggil beberapa lagi pemain lain untuk mengisi kekosongan itu selain posisi lain agar kami dapat kepelbagaian di setiap posisi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Pada masa yang sama, penyerang yang beraksi di Liga Jepun bersama Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak berkata Fagiano sangat berbesar hati dan memberi kebenaran untuk beliau mewakili pasukan negara dalam kejohanan AFF Bawah 22 Tahun.

“Pasukan bangga apabila saya dipanggil dan mereka berikan sokongan penuh.

“Bagi pemain di sana, tidak semua berpeluang untuk bersama pasukan kebangsaan,” kata Hadi.

Keengganan pasukan untuk melepaskan pemain mereka bagi mewakili pasukan negara nyata mencetuskan perdebatan di kalangan peminat bola sepak tanah air.

Ada pihak yang berpendapat pasukan perlu memberi pelepasan kepada pemain mereka untuk beraksi bersama pasukan negara kerana kejohanan AFF Bawah 22 Tahun merupakan pemanas badan sebelum beraksi di peringkat kelayakan AFC Bawah 23 Tahun yang akan bermula pada Mac ini.

Namun, ada juga pihak yang mengatakan dengan ketiadaan beberapa pemain utama perlu diisi oleh pemain muda yang lain bagi memastikan mereka mendapat pendedahan dengan beraksi di peringkat tertinggi.

Baca Juga: MFL Cari Calon Dari Luar Negara

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *