Derby University: Dari Liga IPT Ke Liga Premier

Apabila UKM FC berjaya mengalahkan Shahzan Muda di Stadium UKM pada 8 Oktober lepas, ramai yang menantikan pertembungan Derby University di Liga Premier musim ini. Hakikatnya, kedua-dua pasukan telah lama bertemu sesama sendiri sejak 8 tahun lepas di Liga IPT. UiTM FC dan UKM FC – dua pasukan yang mewakili dua universiti awam terkemuka di Malaysia merupakan dua pasukan yang mendominasi Liga IPT sejak 2010. UiTM Shah Alam merupakan juara Liga IPT 2010 dan 2011, sementara UKM menjuarainya pada tahun 2012.

SEJARAH

Sejarah pertemuan Derby University ini bermula pada perlawanan akhir Liga IPT 2010, apabila perlawanan akhir pada 25 Julai 2010 di Stadium UiTM Shah Alam, UiTM Shah Alam yang dibimbing Omar Ali (kini jurulatih skuad Piala Presiden Selangor) menang bergaya 3-0 hasil jaringan Amirridzwan Taj, Fahrul Razi dan gol sendiri Suffian Saad. Juara dan naib juara akan diberikan dua slot automatik ke Liga FAM 2011.

Namun hanya UiTM Shah Alam sahaja layak ke Liga FAM 2011 (sebagai UiTM FC menggantikan tempat UiTM Pahang), dan UKM yang dibimbing oleh jurulatih sekarang, Sulaiman Hussin masih kekal bersaing di Liga Bolasepak IPT. Pada perlawanan tersebut, saya sendiri turun ke stadium walaupun tidak sampai 2 bulan bergelar status pelajar UKM.

Pada musim 2011 pula, perlawanan pembukaan divisyen 1 Liga Bolasepak IPT di Stadium UiTM Shah Alam pada 5 Mac 2011, UiTM Shah Alam mengalahkan UKM yang diterajui oleh Farid Dewan, dengan jaringan 2-0 hasil jaringan Hidayat Amaruddin dan Nursalam Zainal Abidin.

Kini selepas 8 tahun, mereka kembali bertemu di peringkat yang lebih berprestij. Pasukan universiti berjaya melahirkan pemain bintang seperti pertahanan Malaysia, Amirridzwan Taj dan K. Reuben, di mana mereka berdua merupakan ketua pasukan semasa di peringkat universiti. Derby University buat kali pertama di antara UiTM FC menentang UKM FC pada 1 Mei ini, bertempat di Stadium UiTM Shah Alam sebelum bersambung semula pada 12 Mei nanti di Stadium Selayang.

Pandangan saya, selain Derby University tumpuan lebih terarah kepada pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin yang telah jatuh bangun bersama-sama pasukan UKM FC sejak penglibatan kedua-dua pasukan di Liga IPT lagi. Selain itu, pemain pertahanan UKM FC, Hafizuddin Sulaiman merupakan satu-satunya pemain UKM yang masih setia semenjak kekalahan 0- 3 di perlawanan akhir Liga IPT 2010.

FAKTA PRA PERLAWANAN
1. Gandingan Lucas Pugh (8) dan Dao Bakary (4) telah menjaringkan 12 gol daripada 14 gol UiTM FC di saingan liga. Hanya Sadam Hashim dan Nur Areff Kamaruddin yang menjaringka gol lainnya.

2. Gandingan Nam Se-in (6) dan Atuheire Kipson (3) telah menjaringkan 9 gol daripada 12 gol UKM FC di saingan liga. Hanya Waheed Oseni, Faidzol Fazreen dan Redouane Zerzouri yang menjaringkan gol lainnya.

3. UiTM FC hanya sekali kalah di tempat sendiri apabila menentang PDRM pada 27 April lepas (kalah 1-3). Di saingan liga, UiTM FC hanya kalah 3 kali, itupun dengan bolos 3 gol ke atas (1- 3 dengan Sabah dan 0-4 dengan MISC-MIFA)

4. UKM FC tidak pernah menang selama berkunjung ke tempat lawan. Sebanyak 3 kekalahan daripada 3 perlawanan dialami UKM FC dalam saingan liga (kalah 1-2 dengan Pulau Pinang, FELCRA dan Sarawak). Namun daripada 5 kekalahan UKM FC, semuanya berakhir dengan keputusan 1-2 (lainnya melawan FELDA United dan Terengganu II).

5. MISC-MIFA merupakan pasukan yang berjaya menjaringkan lebih daripada 3 gol ke atas UiTM FC (menang 4-0). Kemenangan 4-0 di Stadium Petaling Jaya pada 14 April lepas ini juga merupakan rekod kemenangan tempat sendiri terbesar di musim ini.

6. UiTM FC merupakan pasukan yang mencatat rekod bolos paling tinggi di saingan liga (18 gol). UKM FC di tempat kedua (15 gol). UiTM FC juga masih belum mendapat clean sheet pertama setakat ini, berbanding UKM FC yang mencatat clean sheet pertama dan satusatunya ketika menentang JDT II.

7. Faiz Bandong (UiTM FC) dan Hasrul Nurkholis (UKM FC) merupakan satu-satunya pemain yang pernah mewakili kedua-dua pasukan sewaktu masih berstatus pelajar. Faiz merupakan alumni UKM dan kini bermain dengan UiTM FC, begitu juga Hasrul yang merupakan alumni UiTM dan kini bermain dengan UKM FC.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC

Baca Juga: 5 Derby Dalam Bola Sepak Malaysia Musim 2018!

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *