Dickson Nwakaeme Kembali Perkuat Pahang ?

Bekas penyerang import pasukan Pahang, Dickson Nwakaeme dikhabarkan semakin hampir untuk kembali memperkuat skuad Tok Gajah bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Dickson, yang digelar ‘Orang Besi’ oleh peminat bola sepak tanah air kerana kemahiran mengawal bola beliau dengan baik akhir-akhir ini memberikan petunjuk bahawa beliau akan kembali beraksi di Malaysia.

Dickson kerap memuat naik video di Insta Story milik beliau dengan tanda-tanda bakal kembali beraksi bersama Pahang. Dickson pernah memuat naik satu video dimana beliau mengenakan jersi pasukan Pahang ketika menjalani latihan ringan.

Selain itu, Dickson juga pernah memuat naik video dimana beliau menyanyikan lagu yang sinonim dengn pasukan Pahang iaitu Ale-Ale Tok Gajahku.

Dalam satu video yang berlainan, Dickson mengajak ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh untuk datang ke Nigeria dan bermain bola sepak bersamanya. Dollah Salleh memberikan respon dengan menyatakan jersi nombor 10 sudah disediakan untuk beliau.

Menurut laporan Utusan Malaysia, sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memberitahu Dickson dijangka akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam ini.

Beliau akan terus dibawa ke Kuantan dan menjalani latihan bersama pasukan pada keesokannya di Taman Gelora, Kuantan pada pukul 5 petang.

Dickson Nwakaeme menjadi pemain kegemaran peminat Pahang setelah beliau menampilkan aksi cemerlang sepanjang dua tahun beraksi bersama pasukan itu. Pemain berusia 33 tahun ini mewakili Pahang pada musim 2014 dan 2015.

Gandingan Dickson bersama seorang lagi penyerang import, Matias Conti di bahagian serangan berjaya memberikan tiga piala untuk pasukan antaranya Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan Piala FA.

Setakat ini, kuota pemain import Pahang diisi oleh pemain tengah dari Singapura, Safuwan Baharuddin dan pemain sayap dari Indonesia, Saddil Ramdani. Pihak pengurusan pasukan dan staf kejurulatihan sedang memantau pemain dari Perancis Darryl Hérold Goulon untuk dijadikan pemain import ketiga.

Sementara dua lagi slot masih belum diisi dan Dickson dilihat sesuai untuk mengisi jentera serangan pasukan.

Baca Juga: Saddil Ramdani Sedia Berdepan Cabaran Besar

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *