Dimana Hadi Fayyadh Akan Beraksi Selepas Ini ?
- Harimau Malaya
- Sep 3, 2018
- No comment
Destinasi penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak menjadi tanda tanya setelah beliau dilepaskan oleh Johor Darul Ta’zim semalam. Adakah Hadi kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia atau berhijrah dengan bermain di liga luar negara ?
JDT memberikan sebab mengapa mereka terpaksa melepaskan Hadi. Salah satu sebab ialah mereka mahu memberikan ruang kepada Hadi untuk membuat keputusan mengenai masa depan beliau setelah pemain berusia 19 tahun ini menunjukkan kesungguhan untuk beraksi di Jepun.
Sebelum temasya Sukan Asia 2018 bermula, Hadi telah berangkat ke Jepun bagi mengikuti ujian bersama kelab J League, Ruasso Kumamoto. Ketika menjalani ujian bersama Ruasso, Hadi menampilkan prestasi yang baik apabila menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan persahabatan. Setelah enam hari menjalani ujian bersama Ruasso, Hadi pulang ke tanah air seterusnya mewakili pasukan bawah 23 tahun negara pada temasya Sukan Asia 2018.
Setelah tempoh ujian Hadi tamat, pihak Ruasso sendiri belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai situasi semasa Hadi sama ada mereka mahu memberikan kontrak professional kepada penyerang muda negara ini atau sebaliknya.
Jika Ruasso tidak menawarkan kontrak kepada Hadi, besar kemungkinan beliau akan terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Keputusan JDT untuk melepaskan Hadi sedikit-sebanyak mengejutkan ramai pihak dalam arena bola sepak Malaysia. Sepanjang bersama juara lima kali saingan Liga Super itu, Hadi menampilkan persembahan yang baik bersama pasukan JDT II dan beliau beberapa kali dimasukkan dalam skuad senior.
Apa yang pasti, penting untuk Hadi meneruskan karier bola sepak beliau di peringkat tertinggi kerana pemain ini mempunyai potensi untuk menjadi penyerang terbaik pasukan negara pada masa akan datang. Kita tidak boleh mensia-siakan bakat yang dimiliki oleh pemenang Piala AFF Bawah 19 Tahun ini.
Apa pendapat anda mengenai masa depan penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak setelah beliau dilepaskan oleh Johor Darul Ta’zim ? Adakah beliau akan beraksi di luar negara ? Atau kekal dalam saingan Liga Malaysia ?
Baca Juga: Johor Darul Ta’zim Lepaskan Hadi Fayyadh