Dua Pasukan Gagal Serahkan Dokumen Berkaitan Kewangan
- Liga Perdana
- Feb 16, 2019
- No comment
Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendedahkan ada dua pasukan yang gagal untuk menyerahkan dokumen berkaitan status kewangan pasukan kepada mereka.
Menurut MFL, hanya lima daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji menyerahkan dokumen seperti yang dituntut sebelumnya.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd. sambil mengingatkan pasukan yang terlibat dalam masalah tunggakan gaji agar lebih serius menangani krisis kewangan.
Bagaimanapun, MFL enggan untuk mendedahkan pasukan mana yang sudah menghantar dan yang belum menghantar dokumen tersebut kepada mereka.
“Seperti semua pasukan tersebut sedia maklum, hari ini (semalam) adalah tarikh tutup untuk ketujuh-tujuh pasukan mengemukakan bukti bayaran yang sudah dibuat.
“Setakat pukul 5 petang hari ini hanya lima pasukan sudah menyerahkan dokumen.
“Sekretariat MFL akan membuat semakan terperinci sama ada dokumen yang dihantar itu lengkap seperti mana yang kita nak tapi lagi dua pasukan setakat ini belum menyerahkan dokumen yang kita mahukan.
“Kita sudah beri ruang dan masa secukupnya kepada setiap pasukan mengumpul segala dokumen dan menyerahkan kepada MFL dan saya percaya semua pasukan sedia maklum dengan peraturan ini,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
MFL sebelum ini memberi tempoh sehingga Jumaat untuk melihat laporan kewangan pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji pemain atau mereka berdepan risiko tidak akan menerima geran tahunan.
“Amalan MFL sebelum ini, semua sedia maklum impaknya di mana ia mungkin akan memberi kesan kepada geran tahunan yang akan kita berikan kepada setiap pasukan iaitu RM3 juta kepada pasukan unifi Liga Super dan RM1 juta Liga Perdana.
“Salah satu penalti yang akan kita gunakan adalah pemotongan geran dan selebihnya akan diserah kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk buat keputusan,” tambahnya.
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dipercayai menjadi salah satu pasukan yang gagal untuk menghantar dokumen berkaitan kewangan kepada badan pengelola Liga Malaysia itu.
Ini kerana Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan berbincang mengenai tunggakan gaji pemain.
Kevin kemudiannya meminta PFA untuk menghantar dokumen berkaitan status kewangan persatuan itu kepada MFL.
Baca Juga: MFL Tidak Beri Kelonggaran