E.Elavarasan Tolak Tawaran Kelab Liga 1
- Luar Negara
- Jan 5, 2019
- No comment
Bekas pengendali pasukan Melaka United, E.Elavarasan menolak tawaran daripada kelab Liga 1 Indonesia bagi saingan musim 2019.
Menurut Ela, beliau terpaksa menolak peluang itu berikutan komitmen terhadap program kejurulatihan Pro A, yang masih disertai di Indonesia sejak September 2017 dan dijangka tamat pada Jun 2019.
“Masa yang terbatas menghalang saya untuk berbakti dengan pasukan baharu di sana, walaupun timbul juga minat untuk menabur khidmat dan mencurahkan pengalaman baharu.
“Malah kecemerlangan beberapa jurulatih tempatan yang pernah melatih skuad di Liga 1 termasuk Irfan Bakti, Abd Rahman Ibrahim dan Raja Isa Raja Akram Shah tetap membuatkan saya teruja,” katanya kepada Berita Harian.
Tambah jurulatih yang pernah membimbing Felda United dan PKNS FC ini, beliau tidak mahu menggangu perjalanan pasukan kerana terikat dengan kursus terbabit, sekaligus menolak minat beberapa pasukan tempatan yang cuba mendapatkan khidmatnya musim ini.
Musim lalu, ketika saingan Piala Malaysia 2018, Elavarasan terpaksa meninggalkan Melaka sebanyak tiga perlawanan kerana mahu menghadiri kursus di Indonesia.
Kursus tersebut diadakan di beberapa banda seperti di Jakarta dan Yogyakarta. Perkara itu sememangnya menyukarkannya merencana sesi latihan, jika menerima tawaran pasukan di Liga Malaysia atau Liga Indonesia.
Sebelum ini, pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee pernah dikaitkan dengan kelab Liga 1 iaitu Mitra Kukar yang berpangkalan di Timur Kalimantan.
Mitra Kukar nyata kagum dengan kecemerlangan Datuk Ong membawa skuad bawah 23 tahun negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dengan menewaskan pasukan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti.
Selain itu, kejayaan skuad bawah 23 tahun negara mara ke pentas final Sukan SEA 2017 dan pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China menjadi antara sebab mengapa Mitra Kukar mahukan beliau.
Baca Juga: Berapa Harga Yang Dibayar JDT Untuk Diogo?