“Empat Minggu Untuk Saya Pulih” Jafri Firdaus Chew
- Harimau Malaya
- Aug 10, 2018
- No comment
Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Jafri Firdaus Chew mengatakan kecederaan hamstring yang dialami beliau akan mengambil masa tiga ke empat minggu untuk pulih. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Team Mode Pack oleh Adidas di Football Republic, KLCC.
Kecederaan yang dialami oleh Jafri Firdaus Chew membuatkan Datuk Ong Kim Swee terpaksa melupakan khidmat beliau bagi mewakili negara dalam saingan Sukan Asia 2018 yang akan membuka tirainya minggu hadapan. Pada mulanya, nama Jafri dimasukkan dalam senarai 28 pemain awal di samping Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.
Tambah pemain berusia 21 tahun ini, beliau sebelum ini pernah mengalami kecederaan yang sama. Namun, kecederaan yang dialami ketika ini lebih parah berbanding sebelumnya sehingga menyebabkan beliau terpaksa berehat lama dan melupakan aksi bersama pasukan negara.
Ditanya mengenai situasi terkini beliau bersama PKNS FC, Jafri berkata berkemungkinan besar beliau akan terlepas aksi di peringkat kumpulan dan akan kembali beraksi jika PKNS berjaya melangkah ke peringkat suku akhir.
Jafri menambah, beliau belum mempunyai apa-apa perancangan walaupun kontrak bersama PKNS FC akan tamat pada penghujung musim 2018 dan mahu memberikan sepenuh fokus untuk pulih daripada kecederaan sekaligus membantu PKNS dalam saingan Piala Malaysia 2018.
Ketiadaan Jafri bersama pasukan bawah 23 tahun negara dalam saingan Sukan Asia 2018 sememangnya menjadi satu kehilangan yang dirasai kerana beliau merupakan antara penyerang yang diberi kepercayaan bagi mengisi jentera serangan pasukan bawah 23 tahun negara.
Bermula ketika temasya Sukan SEA 2017 di mana Malaysia berjaya meraih pingat perak dan seterusnya Jafri menjadi sebahagian daripada pasukan yang mencipta sejarah dengan layak ke peringkat suku akhir temasya AFC Bawah 23 Tahun di China pada awal tahun ini.
Selain kehilangan Jafri, skuad bawah 23 tahun negara baru-baru ini kehilangan seorang lagi penyerang iaitu N.Thanabalan yang dikhabarkan mengalami kecederaan lutut. Tempat N.Thanabalan akan digantikan oleh pemain yang ketika ini sedang menjalani ujian bersama kelab Divisyen 2 Jepun, Ruasso Kumamoto, Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Baca Juga: Jangan Menanduk Bola – Pakar