Evan Dimas Kekal Bersama Selangor ?

Pemain tengah Indonesia, Evan Dimas Darmono dikhabarkan semakin hampir untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama pasukan Selangor sekaligus kekal mewakili Gergasi Merah pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini diumumkan oleh salah sebuah pengguna Twitter dengan nama @indotransfer yang menyatakan Evan akan menandatangani kontrak baru bersama Selangor dan kelab Thai League 1 yang sebelum ini disebut berminat dengan khidmat Evan, Chonburi FC membatalkan hasrat mereka untuk mendapatkan Evan.

Bekas pemain Bhayangkara FC ini menyertai Selangor pada awal musim 2018 setelah berjaya membantu Bhayangkara muncul sebagai juara Liga 1 musim 2017. Evan menyertai Selangor bersama seorang lagi pemain Indonesia, Ilham Udin Armayn.

Pada mulanya Evan beraksi dengan baik di bawah bimbingan P.Maniam ketika itu. Evan digandingkan dengan Alfonso De La Cruz di bahagian tengah pasukan. Namun, prestasi beliau merosot menjelang ke pertengahan saingan Liga seiring dengan merosotnya prestasi pasukan Selangor.

P.Maniam kemudiannya digantikan dengan penolong beliau iaitu Nazliazmi Nasir. Ketika Nazliazmi mengendalikan pasukan, beliau sering mengkritik corak permainan Evan Dimas kerana tidak memenuhi standard seperti yang ditetapkan.

Evan bahkan memulakan perlawanan akhir Piala FA 2018 menentang Pahang di bangku simpanan sebelum dimasukkan pada separuh masa kedua. Pada perlawanan tersebut, Selangor tewas dengan keputusan 2-0.

Akan tetapi, pemain berusia 23 tahun ini menunjukkan kebangkitan menuju ke penghujung saingan Liga Malaysia apabila beraksi dengan baik pada 3 perlawanan terakhir Liga Super 2018. Evan digandingkan dengan Syahmi Safari di bahagian tengah dan kedua-dua pemain berjaya menyelamatkan Selangor daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan dan menduduki tangga ke-8.

Penulis berpendapat jika Selangor mengekalkan Evan Dimas maka keputusan tersebut dinilai sebagai tepat kerana Evan mempunyai kualiti tersendiri dan mampu untuk membantu skuad Red Giants mencabar kejuaraan pada saingan musim hadapan.

Baca Juga: Farizal Harun Sertai Selangor ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *