Faiz Nasir Bakal Mainkan Peranan Besar

Pasukan Selangor ketika ini sedang rancak membuat persiapan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2019 dimana mereka sedang berada di Thailand untuk menghadapi tiga perlawanan pra musim. Bercakap mengenai perlawanan pra musim Selangor, penulis tertarik dengan persembahan yang ditampilkan oleh pemain baru mereka, Faiz Nasir.

Setelah tampil cemerlang bersama pasukan Terengganu FC musim lalu, Faiz mengambil keputusan untuk berhijrah dan memilih pasukan Selangor sebagai destinasi beliau yang seterusnya. Persembahan yang ditampilkan oleh Faiz setakat ini nyata tidak mengecewakan.

Kelincahan serta kepantasan yang dimiliki oleh pemain berusia 26 tahun ini nyata menyukarkan benteng pertahanan lawan untuk mengawal beliau. Baik diletakkan di posisi sayap ataupun posisi tengah, Faiz sentiasa menghadirkan ancaman dan beliau menjadi nadi utama untuk menggerakan jentera serangan Selangor.

Faiz setakat ini tampil dalam kesemua perlawanan pra musim pasukan Selangor. Pada perlawanan menentang MOF Customs FC semalam, Faiz beraksi dengan cemerlang dimana beliau berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

Berdasarkan prestasi yang ditampilkan sepanjang perlawanan pra musim setakat ini, Faiz Nasir dilihat hampir pasti mengisi satu slot di bahagian tengah dalam kesebelasan utama pasukan.

Faiz berkemungkinan besar akan bergandingan dengan pemain import, Endrick Dos Santos bagi membantu jentera serangan pasukan yang akan diisi oleh Sean Eugene Selvaraj, Rufino Segovia dan Antonio Timothy German.

Musim 2019 merupakan musim penting untuk Selangor kerana mereka perlu bangkit dan menjadi antara pasukan yang mencabar kejuaraan khususnya kejuaraan Liga Super dan Piala FA yang memberikan slot ke Asia. Dengan penambahbaikan dari segi pemain dan juga barisan kejurulatihan, misi itu dilihat tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Bagi Faiz pula, jika beliau berjaya menampilkan prestasi terbaik, tidak mustahil ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe akan memanggil beliau untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini Faiz dijangka bakal membarisi pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018. Namun, Cheng Hoe mengambil keputusan untuk tidak memanggil beliau.

Baca Juga: Taylor Regan Pemain Import Kelima Selangor ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *