Fakta Menarik Piala Asia 2019
- Luar Negara
- Jan 7, 2019
- No comment
Sabtu lalu, kejohanan Piala Asia 2019 bermula Emiriah Arab Bersatu (UAE). Piala Asia kali ini bakal menyaksikan 24 negara – bertambah 8 negara daripada edisi sebelumnya di peringkat akhir
kejohanan. Piala Asia kali ini juga menarik apabila beberapa negara bakal memulakan debut mereka.
Berikut merupakan fakta menarik Piala Asia 2019 kali ini.
PEMAIN TERTUA
Ketua pasukan China, Zheng Zhi adalah pemain tertua yang bakal bermain di kejohanan ini. Bekas
pemain Chartlon Athletic dan Celtic ini memulakan debutnya di Piala Asia tahun 2004, di mana China
menjadi naib juara selepas kalah kepada jiran mereka, Jepun. Sejak daripada itu, pemain berusia 39
tahun tahun ini yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Asia Tahunan 2013 ini sentiasa mewakili
Team Dragon ke Piala Asia.
PEMAIN TERMUDA
Dilahirkan 20 Jun 2000 di Baghdad, Mohanad Ali akan menjadi pemain termuda di kejohanan kali ini.
Bermain sebagai penyerang di kelab Al Shorta dan mewakili negaranya sejak akhir 2017, telah
menjaringkan 6 gol dalam 11 penampilan bersama Iraq.
Walaupun pernah dikatakan memalsukan tahun kelahirannya lebih muda 3 tahun, namun namanya mula dikenali sewaktu menjadi penjaring terbanyak kejohanan AFC B-14 5 tahun lepas. Mohanad akan menggunakan jersi nombor 10 untuk Lions of Mesopotamia nanti.
PEMAIN TERTUA DARI ASIA TENGGARA
Walaupun dilahirkan di Amsterdam 38 tahun lepas, namun Paul Mulders memilih untuk mewakili
negara kelahiran ibunya, Filipina. Pada tahun 2011, selepas perpindahannya ke ADO Den Haag,
Persatuan Bolasepak Filipina menghubungi Mulders yang bermain di posisi tengah menyerang. Pernah
mengumumkan untuk bersara pada Mac 2016, namun kemudian menarik keputusannya. Nampak
gayanya dia tak rugi untuk tak jadi bersara, sebab berjaya bawa Azkals ke Piala Asia buat kali pertama.
PEMAIN TERMUDA DARI ASIA TENGGARA
Dalam masa setahun, Doan Van Hau berjaya membawa Vietnam menjadi naib juara AFC B-23 dan
juara AFF Suzuki. Bukan itu sahaja, pemain berusia 20 tahun pada 19 April nanti pernah dinobatkan sebagai pemain muda Vietnam terbaik dan pemain muda Asia Tenggara terbaik tahun 2017. Pemain pertahanan kelab Ha Noi FC ini juga pernah membawa skuad Golden Dragons B-19 ke separuh akhir AFF B-19 dan AFC B-19. Bukan calang-calang!
NEGARA DENGAN PEMAIN LIGA SENDIRI
Di antara 24 negara, hanya 6 negara sahaja yang menyenaraikan 23 pemain mereka dari liga tempatan sendiri. Negara-negara tersebut adalah Arab Saudi, China, India, Qatar, Vietnam, dan tidak lupa pula tuan rumah, UAE. Negara lain yang hampir adalah Thailand (22 pemain) dan Bahrain (20 pemain).
Negara yang menyenaraikan paling sedikit pemain dari liga tempatan sendiri adalah Australia, dengan 3 pemain sahaja bermain di A-League. Negara kedua dengan pemain liga tempatan sendiri paling sedikit adalah Syria (6 pemain).
KELAB DAN LIGA TERBANYAK HANTAR PEMAIN
Dordoi Bishkek (Kyrgyzstan) dan Altyn Asyr (Turkmenistan) adalah kelab dengan pemain terbanyak
bermain di Piala Asia 2019. Kedua-dua kelab menghantar 11 pemain untuk negara Kyrgyzstan dan
Turkmenistan. Kelab lain yang paling hampir adalah Al-Sadd (10 pemain, 9 untuk Qatar, 1 untuk Korea Selatan) dan Ceres-Negros (9 pemain untuk Filipina).
Jika bercerita liga terbanyak menghantar pemain, maka liga Qatar adalah jawapannya. Ada 47 pemain yang bermain di Qatar Stars League – uniknya mereka boleh membentuk 2 skuad dari Qatar. Bagi liga di luar Asia, liga Jerman menghantar 11 pemain (5 untuk Korea Selatan, 2 untuk Australia dan Jepun, 1 untuk Filipina dan Kyrgyzstan).
KELAB DAN LIGA ASIA TENGGARA HANTAR PEMAIN
Ceres-Negros menjadi kelab terbanyak yang menghantar pemain seperti yang diulas di atas. Kelab lain yang hampir adalah Buriram United (7 pemain, 5 untuk Thailand, 2 untuk Filipina) dan Ha Noi FC (7 pemain untuk Vietnam). Bagi liga terbanyak, Liga Vietnam membekal 23 pemain untuk Piala Asia 2019 – kesemuanya bermain untuk Vietnam. Di tempat kedua, ada liga Thailand (22 pemain), di mana hanya Chanathip Songkrasin bermain di liga Jepun.
Tahukah anda, Liga Super Malaysia dan Liga 1 Indonesia menghantar pemain juga ? Alvaro Silva,
pemain Kedah dari Filipina dan Ahmed Atayew, pemain Persela Lamongan dari Turkmenistan bakal
bermain di Piala Asia kali ini.
Semoga berjaya kepada negara Asia. 4 tahun lagi, mungkin kita menyaksikan China atau Korea Selatan
menjadi tuan rumah, 2 bulan selepas Piala Dunia 2022 di Qatar berakhir.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.
Baca Juga: Milovan Rajevac Dipecat Oleh FAT