FAM Akan Pastikan Penjualan Tiket Berjalan Lancar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu mengambil langkah proaktif bagi memastikan penjualan tiket bagi baki perlawanan temasya AFC Bawah 16 Tahun berjalan dengan lancar.

Sebelum ini, para penyokong yang datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan diantara pasukan negara menentang Thailand pada Ahad lalu terpaksa bersesak kerana pengendalian tiket yang tidak teratur.

Mengenai isu tiket ketika aksi Malaysia berdepan Thailand, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, segala urusan penjualan tiket berjalan lancar pada awalnya dengan kaunter tiket dibuka seawal jam 12 tengah hari.

Enam kaunter tiket juga disediakan dan 10 pintu masuk dibuka, namun jumlah peminat yang beratur di kaunter bertambah dengan mendadak sejurus sebelum sepak mula pada jam 4.30 petang.

“Sehubungan itu, FAM akan mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya bukan saja bagi Kejohanan B-16 AFC, malah perlawanan antarabangsa lain pada masa akan datang demi memastikan keselesaan dan kelancaran penyokong ke stadium.

“Antara lain, FAM akan memaparkan info grafik berhubung maklumat penjualan tiket dan juga pintu masuk ke stadium bagi perlawanan Rabu ini di akaun sosial rasmi FAM bagi memastikan kesemua penyokong Harimau Malaya mendapat maklumat dengan jelas dan tepat.

“Selain itu, FAM juga ingin menasihatkan penyokong Harimau Malaya supaya merancang perjalanan dan hadir lebih awal ke stadium pada Rabu ini bagi mengelak kesesakan dan seterusnya boleh membawa kepada kelewatan untuk masuk ke dalam stadium,” katanya kepada Berita Harian.

Para peminat dijangka akan membajiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok kerana pasukan negara wajib menang ke atas Jepun jika mereka mahu melangkah ke peringkat suku akhir.

Penjualan tiket haruslah lebih teratur dan memudahkan para peminat untuk membeli sekaligus memasuki stadium dengan aman tanpa perlu bersesak sesama sendiri.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan antara skuad bawah 16 tahun negara menentang pasukan Jepun pada Rabu ini ? Mampukah anak-anak buah Lim Teong Kim mencatat kemenangan sekaligus mara ke peringkat suku akhir ?

Baca Juga: Isu Tiket Masih Belum Dapat Diatasi

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *