FAM Bakal Pertimbangkan Hasrat Subkhiddin
- Harimau Malaya
- Nov 6, 2018
- No comment
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mempertimbangkan hasrat Subkhiddin Mohd Salleh yang mahu meletakkan semua jawatan beliau dalam badan induk bola sepak negara itu.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan FAM sudah menerima surat peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM itu semalam, namun tidak bermakna mereka menerima keputusan tersebut.
“Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) serta barisan exco turut kecewa dengan keputusan Subkhiddin tetapi penerimaan surat tidak bermakna kita terima peletakan jawatan beliau dan sehingga kini, beliau masih lagi exco FAM.
“Terpulang kepada pihak exco bagi menentukan keputusan peletakan jawatan beliau pada mesyuarat exco itu nanti,” kata Stuart menurut laporan Kosmo.
Ramalingam berkata beliau telah berjumpa dengan Subkhiddin yang meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir peminat yang mengecam beliau di laman sosial susulan pengadilan lemah Suresh Jayaraman pada aksi final Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu FC (TFC) pada 27 Oktober lepas.
Hasrat Subkhiddin untuk meletakkan semua jawatan beliau dalam FAM diumumkan semalam di mana beliau berkata ahli keluarga turut menjadi sasaran kepada kritikan yang dilontarkan oleh peminat.
Suresh Jayaraman membuat beberapa keputusan kontroversi termasuk membatalkan dua gol Perak pada aksi final Piala Malaysia yang dikatakan sebagai jaringan sah. Selain itu, beliau turut melayangkan dua kad merah masing-masing satu kepada pemain Perak dan satu kepada pemain Terengganu FC.
Setelah mengumumkan peletakan jawatan beliau, Subkhiddin kemudiannya menjelaskan beberapa keputusan yang dianggap kontroversi yang dibuat oleh J.Suresh ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 adalah tepat.
Perkara ini diumumkan setelah FAM meneliti video daripada perlawanan akhir tersebut.
Baca Juga: Keputusan J.Suresh Tepat – Subkhiddin Mohd Salleh