FAM Dan FA England Rancang Kerjasama
- Luar Negara
- Jan 31, 2019
- No comment
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus melangkah ke hadapan di mana mereka mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bolasepak (FA) England untuk menjalankan kerjasama bagi meningkatkan beberapa aspek.
Antara inti pati pertemuan itu adalah mengenai kemungkinan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua persatuan yang merangkumi aspek teknikal dan akar umbi, pembangunan pengadil serta tanggungjawab sosial.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus melangkah ke hadapan dalam melaksanakan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM 2019-2030 iaitu F:30 apabila mengadakan pertemuan dengan badan induk bola sepak England, The FA di Stadium Wembley, London.
“The FA yang diwakili Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa & Korporat, Robert Sullivan; Pengarah Perhubungan Perlawanan Profesional, Andy Ambler dan Ketua Perhubungan Antarabangsa, Jane Bateman telah menerima kunjungan FAM yang terdiri daripada Presiden, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin; Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam; Exco, ACP Md Dali Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil dan Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha.
“Antara intipati pertemuan tersebut adalah mengenai kemungkinan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua persatuan yang merangkumi aspek teknikal dan bola sepak akar umbi, pembangunan pengadil serta tanggungjawab sosial.
“FAM turut berbincang mengenai peluang untuk belajar daripada The FA berhubung pembangunan pusat latihan kebangsaan yang merupakan sebahagian perancangan FAM dalam beberapa tahun mendatang ini.
“Pertemuan dengan The FA ini adalah salah satu usaha FAM untuk menjalin kerjasama dengan persatuan-persatuan bola sepak antarabangsa tertentu dari seluruh dunia dalam membantu FAM memajukan bola sepak di Malaysia dan pada masa sama dapat merealisasikan sasaran yang ditetapkan dalam F:30,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM.
Sebelum ini, FAM dan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan mereka akan menubuhkan satu badan bebas pengadil yang diberi nama Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).
FAM dan MFL dilihat mahu mendapatkan pandangan serta bantuan pakar daripada FA England mengenai penubuhan ini bagi memastikan kualiti pengadil dapat dipertingkatkan.
Baca Juga: PMOM Kurangkan Kesilapan Pengadil – Yusoff Mahadi