FAM Kenalkan Peraturan Baru Bagi Perkasa Liga M

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu memperkenalkan lima peraturan baru bagi memastikan Liga Malaysia lebih sistematik dan terkawal dari segi pengurusan dan juga pelaksanaan.

Antara peraturan yang bakal diperkenalkan ialah layangan kad kepada barisan kejurulatihan dan pemain simpanan yang berada di tepi padang. Jika ada mana-mana pemain atau pegawai pasukan di bangku simpanan yang dilayangkan kad, maka mereka boleh dihalau keluar dari kawasan tersebut.

Selain itu, jaringan gol yang terhasil walaupun terkena tangan pemain dalam keadaan sengaja atau sebaliknya turut tidak akan dikira. Ini termasuk kes sekiranya bola terkena tangan pemain sebelum dia melakukan bantuan jaringan kepada rakan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, peraturan baru itu diperkenalkan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) dan wajib diguna pakai oleh semua badan induk bola sepak setiap negara.

Menurut Stuart, setakat ini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) belum mengeluarkan surat pekeliling berkaitan pelaksanaan peraturan baharu terbabit, namun pihaknya sudah sedia maklum berkaitan perkara terbabit.

“Peraturan baharu itu wajib dipraktikkan kepada badan induk bola sepak negara yang bernaung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan kita hanya menunggu surat pekeliling daripada AFC bagi melaksanakannya.

“Namun, perkara itu perlu dilakukan secara berperingkat dengan memastikan pengadil perlu mengetahui secara terperinci peraturan terbabit bagi mengelak masalah lain timbul nanti,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sebelum ini, IFAB yang bersidang pada awal Mac lalu memutuskan lima peraturan baharu akan diperkenalkan mulai tahun ini bertujuan untuk menambah baik mutu serta kualiti perlawanan dengan meminimum pembaziran masa ketika perlawanan sedang berlangsung.

Tiga lagi peraturan baru yang disebutkan ialah mengenai tendangan penalti dimana pengadil akan memberikan sepakan gol sekiranya penjaga gol berjaya menyelamatkan sepakan penalti dan bola kemudiannya berlegar di kawasan penalti.

Seterusnya, benteng sepakan percuma hanya dibarisi oleh pemain lawan tanpa diganggu oleh pemain lain dan pemain yang akan digantikan boleh meninggalkan padang dari sudut bebas tanpa perlu menghampiri kawasan pengadil keempat.

Baca Juga: FAM Yakin Penyokong Akan Hadir Ke Stadium

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *