FAM Lancarkan Peta Hala Tuju Baru
- Harimau Malaya
- Oct 31, 2018
- No comment
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini telah melancarkan Peta Hala Tuju baharu yang dinamakan F:30. Dalam Peta Hala Tuju itu, FAM merencanakan untuk menjadi lima negara terbaik di rantau Asia menjelang tahun 20130.
Tempoh roadmap selama 12 tahun itu dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama dari tahun 2019 hingga 2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur, disusuli fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia, disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.
“Peta Hala Tuju ini adalah agenda negara, agenda untuk semua, untuk saya, untuk FAM, untuk semua pemegang taruh dan penyokong, dan jika kita mahu merealisasikan visi ini, kita perlukan semua pihak untuk turut serta dalam mencapai objektif yang sama,” kata Presiden FAM,Dato’ Haji Hamidin Amin.
Pada majlis pelancaran itu, pembentangan F:30 dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo, disaksikan lebih 200 anggota keluarga bola sepak tempatan terdiri daripada ahli gabungan FAM dan pengamal media.
Dato’ Haji Hamidin menyifatkan F:30 sebagai simbol kesungguhan FAM melaksanakan pelan pembangunan menyeluruh di setiap lapisan ke arah menjadikan Malaysia sebagai kuasa bola sepak yang disegani.
“Tempoh 12 tahun adalah sasaran yang realistik mengambil kira ekosistem bola sepak tempatan ketika ini.
“Teras kepada peta hala tuju ini ialah memperkasakan ahli gabungan dari sudut pembangunan modal insan dan pertandingan, pengenalan DNA bola sepak Malaysia menerusi kurikulum kejurulatihan yang seragam, serta pembangunan akar umbi yang mantap.
“Dalam peta hala tuju ini juga, FAM bercadang mewujudkan sekelompok pengadil profesional bertujuan meningkatkan mutu pengadilan,” katanya.
Presiden FIFa, Gianni Infantino yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata pihaknya selalu menyokong ahli gabungan yang menunjukkan kesungguhan membangunkan bola sepak di setiap peringkat.
“Tahniah khususnya kepada Dato’ Hamidin kerana melancarkan pelan hala tuju FAM hanya tiga bulan selepas menjadi Presiden FAM. FIFA sentiasa menyokong dan mengalu-alukan ahli gabungan yang menunjukkan kesungguhan membangunkan bola sepak di setiap peringkat.
“Pelan ini juga sejajar dengan Program FIFA Forward yang kami kemas kinikan baru-baru ini bertujuan memperkasakan negara anggota FIFA,” kata Infantino.
Shaikh Salman pula menganggap F:30 sebagai kerangka asas yang mampu membina ekosistem yang menggalakkan pertumbuhan bola sepak Malaysia.
“Bagi pihak AFC, kami mendoakan agar Malaysia mendapat hasil daripada pelaburan ini,” katanya.
Baca Juga: Persaingan Hebat Untuk Menjadi Nombor Satu