FAM, MFL Tubuhkan Badan Bebas Pengadil
- Liga Perdana, Liga Super
- Jan 29, 2019
- No comment
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersetuju untuk menubuhkan badan bebas pengadil yang dikenali sebagai Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) dalam usaha untuk menambah baik mutu pengadilan dan memastikan pengadil tempatan menuju ke arah profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata PMOM sudah didaftarkan dan kini mereka sedang mencari barisan kempimpinan untuk menguruskan badan bebas pengadil itu.
Namun, mereka tidak boleh sewang-wenangnya melantik pegawai pertandingan dan penelitian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah berlaku pada masa hadapan.
“Kita tak boleh melakukan kesilapan sama seperti dalam menjadikan liga kita sebagai satu liga profesional. Kita ingat dengan menjadikan seorang pemain itu sepenuh masa dengan memberi mereka kontrak, maka kita ada pemain dan liga yang profesional.
“Mungkin kita tidak lihat kepada kelengkapan dan keperluan yang diperlukan untuk menyokong penukaran taraf pemain itu dari amatur atau separuh profesional kepada perofesional. Jadi pada pada hari ini ada yang mempertikaikan adakah liga kita profesional sepenuhnya dan sebagainya.
“Justeru, bagi PMOM ini kita kena tengok balik permulaan itu, bagaimana permulaan perlu dibuat dan apa boleh dititik beratkan. Kita tidak mahu membuat kesilapan sama dan MFL mementingkan kelengkapan sistem serta program secukupnya untuk menyokong peralihan pengadil daripada semi pro pada waktu ini kepada profesional sepenuhnya.
“Jika hajat kita hanya untuk melengkapkan kontrak bagi menjadikan (pengadil) profesional, maka kita tidak belajar dari kesilapan lalu dan terus akan berdepan masalah sama,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Isu pengadil sememangnya mewarnai saingan Liga Malaysia setiap musim sejak Liga Malaysia beralih dari era separuh profesional kepada profesional pada 1994.
Yang terbaru, mutu pengadilan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Terengganu FC menentang Perak menjadi persoalan setelah pengadil yang mengawal perlawanan, Suresh Jayaraman membuat beberapa keputusan yang diaggap tidak masuk akal.
Malah, sesetengah pihak berpendapat perlawanan akhir itu tercemar kerana mutu pengadilan yang teruk.
Baca Juga: MFL Bantu Pasukan Guna Cara La Liga