FAM Sedia Beri Piala FAM Kepada MFL
- Lain-lain
- Nov 15, 2018
- No comment
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia memberi kebenaran untuk Malaysia Football League (MFL) mengambil alih saingan Piala FAM daripada kelolaan mereka pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan cadangan tersebut perlu dinilai terlebih dahulu dengan jawatankuasa dan mereka akan membincangkannya pada 22 November nanti.
“Mengenai isu ini, kita akan bincangkannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan pandangan yang diperoleh perlu melalui Mesyuarat Exco terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan dibuat.
“Secara dasarnya, kita terbuka kepada perbincangan ini dan saya berpendapat, mungkin ada baiknya kita serahkan Piala FAM kepada MFL kerana jika dilihat, agak janggal apabila divisyen tiga diuruskan FAM sementara Liga Super, Liga Perdana, Liga M4 dan M5 dikendalikan oleh mereka.
“Jika MFL diberikan kuasa penuh mengendalikan semua liga yang ada, FAM boleh memberi fokus kepada pembangunan menerusi saingan Piala Presiden dan Piala Belia serta tumpuan terhadap pasukan kebangsaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
MFL sendiri ketika ini mengendalikan empat divisyen liga dan cadangan untuk mengambil alih Piala FAM dianggap mampu untuk menyelaraskan serta memastikan kesinambungan setiap lapisan itu dapat dijalankan dengan lancar.
Tambah Datuk Yusoff, pihaknya akan bertemu dengan MFL bagi mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut mengenai perkara itu.
“Kita akan memanggil wakil MFL duduk semeja dengan FAM untuk mendengar pandangan mereka bagi mencari jalan terbaik berhubung cadangan ini,” tambah beliau.
Sebelumnya, MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menyatakan mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengendalikan Piala FAM yang mana merupakan divisyen ketiga dalam piramid Liga Malaysia ketika ini.
Untuk saingan musim 2019, Piala FAM berdepan dengan krisis apabila dikhabarkan hanya enam pasukan sahaja yang akan mengambil bahagian dalam saingan tersebut.
Enam pasukan terbabit adalah Terengganu FC II (TFCII), ATM, Kuching FA, Young Fighters FC, Perlis dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam Urusetia Belia dan Sukan FC.
Baca Juga: Bekas Physio Hanelang Dan TCFC Tuntut Tunggakan Gaji