FAM Tetap Dengan Pendirian – Stuart Ramalingam

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian tidak membenarkan juara Piala FA 2018, Terengganu City FC untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya mengambil keputusan tersebut setelah pihak kelab gagal membayar tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan yang sehingga kini sudah mencecah RM977,100.

Tambah Stuart, FAM akan menggunakan hadiah wang tunai selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan deposit penyertaan berjumlah RM355,000 yang dimiliki oleh TCFC dimana wang tersebut disekat sebelum ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji.

“Namun, TCFC tidak boleh terus bersikap lepas tangan dan masih tetap perlu menjelaskan baki hutang kepada pemain dan pegawai terbabit jika mereka tidak mahu menerima implikasi lebih besar selepas ini.

“Perlu diingatkan, apabila PBSNT dan Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus menarik balik lesen kebenaran terhadap TCFC itu, maka FAM secara tidak langsung tidak lagi mengiktiraf TCFC sebagai sebuah kelab yang diberikan kebenaran untuk bertanding,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, Pengurus Pasukan Terengganu City FC, M Rezal Abu Bakar berkata pengurusan baru pasukan bersedia untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dengan memberikan dua syarat. Syarat yang pertama ialah pengurusan lama harus memberikan sepenuhnya kuasa kepada pengurusan baru untuk mengendalikan pasukan.

Syarat yang kedua ialah hak Terengganu City untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini perlu dikembalikan kerana mereka layak beraksi setelah muncul juara Piala FAM 2018.

Bagaimanapun, Stuart berkata berdasarkan rekod sebelum ini, Terengganu City sudah beberapa kali mungkir janji untuk menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya biarpun ia sudah tercatat secara hitam putih.

Maka dengan itu, FAM kekal dengan pendirian mereka dan tidak membenarkan Terengganu City beraksi dalam saingan Liga Perdana 2019. Stuart turut menasihati pihak pengurusan TCFC untuk tidak menuding jari ke arah pihak lain atas kesalahan yang mereka lakukan.

“Justeru, diharap TCFC tidak terus menuding jari kepada pihak lain dan menetapkan pula syarat yang perlu dituruti FAM, sebaliknya mereka perlu mengambil sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan baki hutang sedia ada itu mengikut tarikh telah ditetapkan iaitu sebelum atau pada 19 Februari 2019.

“Tiada siapa perlu disalahkan dalam hal ini selain daripada TCFC kerana jika mereka berusaha menyelesaikan tunggakan hutang yang ada ketika itu sebelum atau pada 29 September 2018, sudah tentu TCFC sudah boleh beraksi pada Liga Perdana 2019,” tambahnya.

Baca Juga: Boleh Selesaikan, Tapi Bersyarat – Pengurusan Baru TCFC

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *