FAM Tunda Perlawanan Persahabatan Menentang Nepal

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan mereka menunda perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad kebangsaan menentang pasukan Nepal ke satu tarikh baharu yang akan diberitahu kelak.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, perlawanan persahabatan tersebut terpaksa dipinda ke satu tarikh lain setelah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan perlawannan tersebut tidak diluluskan sebagai perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus “A”.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan penangguhan perlawanan persahabatan antarabangsa kelas “A” antara pasukan kebangsaan, Harimau Malaya bertemu Nepal yang dijadual di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac 2019 ke satu tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.

“Meskipun mengetahui garis panduan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang hanya membenarkan dua perlawanan berstatus “A” pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA, dalam usaha untuk memperbaiki ranking dunia kami, FAM telah cuba untuk membuat rayuan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA bagi meluluskan perlawanan ketiga itu iaitu menentang Nepal pada 26 Mac 2019.

“Peluang tampak cerah apabila pada 6 Mac 2019, pihak AFC telah meluluskan perlawanan tersebut, namun pada 7 Mac 2019, FIFA telah pun memaklumkan kepada FAM bahawa perlawanan tambahan itu tidak diluluskan sebagai perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus “A”.

“Sebagai menghormati keputusan FIFA itu, FAM dan Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal (ANFA) telah bersetuju untuk menangguhkan perlawanan tersebut ke satu tarikh baharu semasa jendela perlawanan antarabangsa FIFA yang akan datang bagi membolehkan kedua-dua negara menikmati peluang untuk mendapat mata bagi kiraan ranking dunia,” kata Stuart.

Pada 20 Mac hingga 23 Mac, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe akan beraksi dalam kejohanan Piala Airmarine 2019.

Malaysia akan bertemu Singapura pada hari Rabu, 20 Mac 2019, jam 8.45 malam manakala Oman akan menentang Afghanistan pada pukul 4.30 petang.

Pemenang akan bertemu pada aksi final pada hari Sabtu, 23 Mac 2019, jam 8.45 malam dan dua pasukan yang tewas pula bakal beraksi pada perlawanan merebut tempat ketiga dan keempat, pada pukul 4.30 petang. Kesemua perlawanan ini berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Baca Juga: Bekas Pemain Perlis Turut Harapkan Bantuan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *