FAM Yakin Penyokong Akan Hadir Ke Stadium

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin peminat setia pasukan kebangsaan akan hadir ke stadium dan memberikan sokongan kepada anak-anak buah bimbingan Tan Cheng Hoe yang akan beraksi dalam kejohananan Piala Airmarine 2019.

Pada penganjuran sulung yang membabitkan empat negara iaitu Malaysia selaku tuan rumah, Oman, Afghanistan dan Singapura kali ini, pihak penganjur menetapkan harga RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 untuk tempat duduk terbuka.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata tiket berkenaan tidak terhad kepada satu perlawanan sahaja sebaliknya ia berkonsepkan tiket untuk menyaksikan dua perlawanan sekaligus.

“Harga itu untuk dua perlawanan – kedua-dua aksi yang dilangsungkan pada hari sama (petang dan malam). Lagi pun ia dianjurkan pihak swasta dan bukan dibawah seliaan FAM.

“Saya percaya kedua-dua pihak sudah capai kata sepakat membabitkan harga tiket. Untuk bercakap tentang harga, ia agak susah kerana ada orang katakan ia masih murah dan ada yang cakap harga itu mahal.

“Pada saya, mungkin faktor pasukan yang ambil bahagian juga menyumbang kepada harga itu memandangkan ranking mereka lebih atas daripada kita. Tetapi saya rasa penyokong tetap hadir dan harga itu masih mampu dibayar oleh mereka untuk berikan sokongan kepada skuad kebangsaan,” kata Yusoff Mahadi menurut laporan Berita Harian.

Bagi menghadapi Piala Airmarine 2019, ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe memanggil beberapa muka baharu bagi mengisi tempat pemain skuad bawah 23 tahun negara yang akan beraksi dalam peringkat kelayakan AFC Bawah 23 Tahun yang akan bermula pada minggu hadapan.

Antara muka baharu yang dipanggil ialah Faiz Nasir, Halim Shaari, Abdul Latiff Suhaimi (Selangor), Ifwat Akmal (Kedah), Hafiz Ramdan (PKNP FC), Nick Swirad (PKNS FC) dan S.Kumaahran (JDT II). Di sini merupakan senarai penuh pemain yang dipanggil.

Faiz, Nick Swirad dan juga Hafizh dijangka bakal mengisi kesebelasan utama pasukan memandangkan kedua-dua pemain ini menampilkan aksi yang baik dalam saingan Liga Super setakat ini.

Baca Juga: FAM Tunda Perlawanan Persahabatan Menentang Nepal

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *