Farizal Harun Sertai Selangor ?
- Liga Super
- Nov 30, 2018
- No comment
Bekas penjaga gol Felda United, Farizal Harun dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai pasukan Selangor bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Khabar angin ini timbul selepas Farizal memuat naik satu posting di laman media sosial Instagram milik beliau dengan caption yang bertulis “hampir pasti Insyaallah” ditambah dengan dua emoji berwarna merah dan kuning.
Sumber Gambar: Instagram Farizal Harun
Farizal beraksi bersama pasukan Felda United dalam saingan Liga Perdana musim 2018. Beliau menjadi antara nadi utama pasukan dalam memastikan Felda muncul sebagai juara Liga Perdana. Namun, meskipun menjadi pemain utama, jodoh Farizal bersama Felda tidak panjang.
Bulan lalu pengurusan pasukan Felda mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak penjaga gol berusia 32 tahun ini dan mahu mencari penjaga gol baru bagi mengawal pintu gol pasukan. Perkara ini nyata mengecewakan Farizal kerana beliau berpendapat pengurusan pasukan sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan beliau sebelum mengambil apa-apa keputusan.
Nama Farizal sendiri sudah tidak asing dalam saingan Liga Malaysia. Pada mulanya beliau mencipta nama bersama pasukan Negeri Sembilan dan beliau beraksi selama empat musim bersama pasukan itu.
Pada musim 2012, Farizal menyertai revolusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dimana ketika itu ATM menandatangani beberapa nama besar seperti Aidil Zafuan, Zaquan Adha dan Marlon Alex James. Namun jodoh Farizal bersama ATM hanya bertahan selama semusim sahaja dimana beliau kemudiannya menyertai Felda United.
Bersama Felda, trofi Liga Perdana musim ini menjadi satu-satunya kejuaraan yang dimenangi oleh pemain yang akrab disapa dengan panggilan Ejai bersama The Fighters. Setelah empat musim bersama Felda, pengurusan pasukan akhirnya melepaskan Farizal.
Jika Farizal menyertai pasukan Selangor, maka beliau akan bersaing dengan Khairul Azhan dan juga Haziq Ridwaan bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama. Farizal bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Norazlan Razali yang dilepaskan oleh pengurusan pasukan Selangor.
Pengalaman yang dimiliki oleh Farizal dilihat mampu untuk memperkasakan pasukan Selangor menjelang saingan Liga Malaysia musim 2019.
Baca Juga: Selangor Lepaskan 7 Pemain