FAS Sokong Penetapan Gaji Siling
- Liga Super
- Dec 30, 2018
- No comment
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyokong sepenuhnya jika peraturan gaji siling kembali diperkenalkan semula dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon sewajarnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pentadbir liga tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil serius penetapan gaji siling terhadap pemain tempatan dan import yang disifatkan terlalu mahal dan membebankan pasukan.
Tambah Dr Johan, pasukan terpaksa membelanjakan hampir 80 peratus dana pasukan hanya untuk membayar gaji pemain dengan 20 peratus lagi bagi tujuan pengurusan operasi dan pembangunan pasukan remaja.
“Saya sangat setuju jika penetapan harga siling digunakan di Liga-M bagi membendung isu kegagalan pembayaran gaji atau penutupan pasukan ekoran masalah kewangan.
“Cuba bayangkan dengan adanya harga siling ini, kita boleh jimat banyak kerana setiap pasukan sudah tentu perlu memperkuatkan hal-hal pengurusan seperti pemasaran, media, pentadbiran operasi, pembangunan akar umbi dan kejohanan di peringkat negeri.
“Berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, saya kira harga siling boleh membantu banyak pasukan untuk kekal kompetitif tanpa mengalami banyak masalah seperti tunggakan gaji dan sebagainya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Kegagalan pasukan Liga Malaysia membayar gaji pemain terutamanya pemain import adalah kerana tawaran gaji yang terlalu tinggi kerana tiada pengawalan yang dilakukan oleh badan bola sepak induk negara dan pengelola Liga.
Isu mengenai tunggakan gaji sudah acap kali dibawa ke pengetahuan Federasi Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan antara kes terbesar membabitkan tonggak import seperti Wander Luiz, Jonathan Lucca, Baze Illijosk dan Jonathan McKain dari pasukan Kelantan pada 2017 dan terbaru membabitkan pasukan Kuantan FA, FELCRA FC, FELDA United hingga menyebabkan ‘periuk nasi ’ pemain tidak berasap.
Baca Juga: B.Sathianathan Mahukan Khidmat Ebdrick Dos Santos