Fasih Bahasa Melayu Faktor Utama – Bibi Ramjani

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata kebolehan Marko Kraljevic untuk bertutur dalam bahasa melayu menjadi antara faktor beliau dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan yang baru.

Menurut Bibi, meskipun kemampuan untuk bercakap bahasa melayu tidak begitu fasuh, kebolehan yang dimiliki oleh Kraljevic dapat memudahkan kerja beliau dan dapat berkomunikasi dengan baik bersama para pemain.

“Selain itu, kita turut mengambil kira rekod dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Kraljevic dalam bidang kejurulatihan.

“Kita yakin dan percaya, Kraljevic mampu membawa nafas baharu untuk TRW dalam mengharungi saingan Liga Perdana musim ini,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Bibi Ramjani memberitahu, Kraljevic mengikat kontrak bersama pasukan Kelantan untuk tempoh dua tahun dan berharap bekas ketua jurulatih pasukan Balestier Khalsa ini memberikan sentuhan terbaiknya dan membawa Kelantan ke saingan Liga Super musim hadapan.

Pada masa yang sama, Bibi mengumumkan jentera serangan pasukan akan diisi oleh dua pemain import iaitu Raul Tarragona yang akan membentuk gandingan bersama Mustafa Zazai.

Selain membawa masuk Raul dan Mustafa, KAFA turut membawa masuk bekas pemain import Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior dan mengekalkan khidmat Cassio De Jesus.

Sebelum ini, jurulatih musim lalu, Yusri Che Lah memberi jaminan kepada KAFA bahawa beliau akan kekal mengemumudi pasukan bagi saingan Liga Perdana musim 2019. Yusri diberi tanggungjawab untuk melatih pasukan setelah jurulatih sebelumnya, Fajr Ibrahim melarikan diri.

Namun, selang seminggu kemudian, Yusri diumumkan sebagai ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur yang baru dan ini menyebabkan KAFA perlu segera mencari jurulatih yang lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Yusri.

Sebelum melantik Marko Kraljevic, pasukan diuruskan oleh Jorg Peter Steinebrunner dalam beberapa perlawanan pra musim.

Kelantan terpaksa beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini setelah menamatkan saingan Liga Super musim lalu di zon penyingkiran. Selain Kelantan, Negeri Sembilan turut menerima nasib yang sama.

Baca Juga: MFL Bantu Pasukan Guna Cara La Liga.

Leave a comment

Your email address will not be published.