Felcra FC Bakal Lunaskan Gaji Pemain

Pengurusan pasukan Felcra FC berjanji akan melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan meskipun naib juara Liga Perdana musim 2018 itu menarik diri daripada beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad dimana beliau berkata jumlah berkenaan termasuk baki gaji hingga hujung tahun ini dan tunggakan yang mencecah tiga bulan dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta bagi semua pemain dan pegawai pasukan.

“Saya maklumkan kepada pengurusan yang saya akan letak jawatan selepas gaji pemain masuk ke dalam akaun mereka. Saya bukan senang-senang untuk lepaskan jawatan dan biarkan mereka terkotang-kanting tanpa ada sesiapa membantu.

“Saya pun nak ucap terima kasih kepada Pengerusi FELCRA, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab dan pengurusan tertinggi sebab bersetuju untuk bayar baki gaji dan tunggakan semua pemain serta pegawai pasukan.

“Jumlah keseluruhan lebih kurang RM2 juta itu termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya,” katanya Berita Harian.

Sebelumnya, Felcra mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dalam saingan Liga Super musim hadapan kerana kekangan kewangan.

Datuk Hazian berkata langkah tersebut diambil bagi mengelakkan mereka tidak mengganggu persediaan Liga Malaysia bagi musim hadapan selain pemain juga masih mempunyai masa untuk mencari pasukan baharu.

Tambah Datuk Hazian, pemain nyata sedih dengan keputusan itu apatah lagi selepas mereka bertungkus-lumus mengangkat nama FELCRA.

“Reaksi pemain memang sedih sebab mereka sudah berusaha sebaik mungkin menaikkan nama FELCRA sampai ke tahap ini, tapi pada penghujungnya kami terpaksa menarik diri.

“Apapun kami terpaksa akur, saya dengan pengurusan tidak boleh bergerak sendiri kerana dalam bola sepak memerlukan dana yang besar,” katanya.

Baca Juga: MISC-Mifa Ganti Felcra FC

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *