Felda United Diarah Bayar Tunggakan Gaji Berjumlah RM1.3 Juta
- Liga Super
- Feb 8, 2019
- No comment
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan pasukan Felda United untuk melunaskan tunggakan gaji seramai enam pemain yang beraksi bersama pasukan musim lalu dimana tunggakan tersebut berjumlah RM1.3 Juta.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM hari ini, badan induk itu mengumumkan Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat kali ke-10 bagi penggal 2017-2021 pada 1 Februari 2019 (Jumaat) telah mencapai keputusan dan mengarahkan Felda United untuk melunaskan tunggakan gaji sebesar RM1.3 Juta kepada enam pemainnya.
Berikut adalah kenyataan FAM:
1. Tuntutan dikemukakan oleh 6 pemain terhadap Felda United FC berhubung tunggakan gaji dan bayaran-bayaran lain
Keputusan: Tuntutan pengadu-pengadu telah diterima sebahagiannya dan Felda United FC dikehendaki membayar tunggakan gaji dan bayaran-bayaran lain seperti jumlah dinyatakan di bawah (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini.
i) Ahmad Syamim Yahya (RM259,591.20)
ii) Mohd Farizal Harun (RM167,491.40)
iii) Muhammad Azreen Zulkafali (RM38,930.70)
iv) Muhammad Hadin Azman (RM193,000)
v) Muhammad Shukor Adan (RM390,681.90)
vi) Wan Zack Haikal Wan Nor (RM278,223.60)
“Jika Felda United gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, apa-apa deposit penyertaan Pertandingan, hadiah wang tunai atau apa-apa sahaja kewangan Responden yang masih berbaki di FAM akan dibayar terus kepada Pengadu-pengadu.
“Perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi jika sumber kewangan yang dinyatakan di atas masih tidak mencukupi.
Sebelum ini, pengurusan pasukan Felda mendakwa mereka baru sahaja menyelesaikan tunggakan gaji bagi bulan September.
Selain Felda United, lima lagi pasukan iaitu PDRM FA, Perlis Northern Lions, Kuantan FA, Hanelang FC dan Terengganu City FC turut menerima arahan sama daripada FAM.
Tunggakan yang dihadapi oleh pasukan PDRM FA ialah sebesar RM90 ribu, Perlis sebesar RM52 ribu, Kuantan FA sebesar RM42 ribu, Hanelang FC sebesar RM224 ribu dan Terengganu City FC sebesar RM239 ribu.
Kesemua pasukan diarahkan untuk membayar tunggakan gaji dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Status FAM.
Baca Juga: Felda United Langsaikan Gaji Bulan September