Felda United Tamatkan Khidmat Empat Pemain Import

Pengurusan Felda United mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak empat pemain import mereka dan bakal mengambil import baru menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Empat pemain import yang dimaksudkan ialah Gilberto Fortunato, Thiago Agusto Fernandez, Thiago Junior Aquino dan Ian Ramsay.

Pengurus kelab, Mohd Nasir Embong ketika mengesahkan perkara itu menegaskan, Felda United akan mendapatkan pemain import baharu untuk memperkasakan pasukan bagi saingan musim hadapan.

“Kami membuat keputusan itu berdasarkan perubahan yang dilakukan pengurusan.

“Musim 2019 juga bakal menampilkan sebahagian besar muka baharu termasuk barisan pemain muda yang diberi tanggungjawab untuk bersaing dengan pemain lebih berpengalaman.

“Kita harap pemain baharu ini dapat menimba pengalaman dalam usaha mematangkan mereka apabila beraksi dalam saingan Liga M, khususnya Liga Super,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, Felda mengumumkan mereka melantik Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih pasukan yang baru bagi menggantikan B.Sathianathan yang memutuskan untuk berpisah bersama pasukan.

Musim ini, Mohd Nidzam bertindak sebagai penolong jurulatih kelab itu dan membantu FELDA United muncul juara Liga Perdana, sekali gus layak beraksi di Liga Super musim 2019.

Pengalaman yang dimiliki Nidzam sebagai jurulatih SPA FC dan AirAsia FC serta pernah menyarung jersi Selangor, PKNS FC dan Negeri Sembilan diyakini meneruskan perjuangan FELDA United.

Apa yang pasti, tindakan Felda melepaskan keempat-empat pemain import mereka nyata mengejutkan kerana mereka menampilkan persembahan yang cemerlang sepanjang musim dan berjaya membantu Felda United muncul juara Liga Perdana musim 2018.

Pemain yang dibawa masuk nanti perlu mempunyai kualiti yang setara dengan pemain yang dilepaskan bagi memastikan pasukan berjaya mengekalkan status Liga Super mereka.

Baca Juga: Felda United Bakal Kehilangan Pemain Bintang?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *