Gandingan Irfan Dan Shahrul Pilihan TCH ?

Skuad kebangsaan akan memulakan salah satu daripada dua perlawanan persahabatan pada bulan September dengan menentang Taiwan pada esok. Di sini, kami meramalkan gandingan Irfan Zakaria dan Shahrul Saad akan menjadi pilihan Tan Cheng Hoe untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Irfan dan Shahrul mula digandingkan di bahagian pertahanan ketika Malaysia membelasah Bhutan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan keputusan 7-0 pada April lalu. Irfan turut menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut.

Ketika menentang Fiji di Cheras, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan untuk merubah sedikit bahagian pertahanan dengan menggandingkan Shahrul dengan Adam Nor Azlin. Meskipun pasukan negara mengutip kemenangan, namun barisan pertahanan dilihat sedikit goyah dan kerap membuat kesilapan yang membolehkan pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

Untuk menghadapi Taiwan dan Kemboja, Tan Cheng Hoe membawa empat pemain pertahanan iaitu Syawal Nordin, Irfan Zakaria, Shahrul Saad dan Rawilson Batuil. Dengan ketiadaan Adam Nor Azlin, kami berpendapat gandingan Irfan dan Shahrul sesuai untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Kedua-dua pemain sedang berada dalam prestasi terbaik ketika ini. Shahrul baru saja membantu Perak mencatat kemenangan dalam saingan Piala Malaysia manakala Irfan pula menampilkan aksi yang cemerlang pada temasya Sukan Asia 2018 lalu.

Jika Tan Cheng Hoe mahu membuat perubahan di bahagian pertananan, kami berpendapat Rawilson Batuil boleh digandingkan dengan salah satu pemain sama ada Irfan ataupun Shahrul. Ketua pasukan Sabah ini sebelumnya beberapa kali dipanggil namun masih belum membuat penampilan dalam kesebelasan utama.

Apa yang pasti, sesiapa sahaja yang diturunkan di bahagian pertahanan pasukan negara harus membentuk satu gandingan yang mantap bagi memastikan benteng pasukan negara tidak dibolosi.

Penting untuk pasukan negara mengutip keputusan positi dalam dua perlawanan persahabatan yang dihadapi bagi memastikan pasukan negara berada dalam keadaan yang maksimum menuju ke kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.

Apa pendapata anda mengenai gandingan Irfan Zakaria dan Shahrul Saad di bahagian pertahanan pasukan negara ? Adakah mereka gandingan yang sesuai ? Atau ada pemain yang lebih layak mengisi posisi tersebut ?

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Tenang Meskipun Diberikan Tekanan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *