Golden Dragon Lebih Garang Berbanding Harimau

Pasukan Vietnam atau The Golden Dragon nyata lebih garang apabila mereka berjaya menewaskan pasukan negara dengan keputusan 2-0 pada perlawanan ketiga kumpulan A sebentar tadi.

Pemain negara pada mulanya menguasai permainan apabila banyak memegang bola dan melancarkan gerakan serangan ke kubu pertahanan pasukan lawan. Namun, pasukan tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan menerusi gerakan serangan pertama mereka.

Nguyen Chong Puong berjaya mengambil kesempatan di atas keadaan yang sedikit tidak terkawal di dalam kotak penalti Malaysia dan beliau melepaskan satu rembatan kencang sekaligus menewaskan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat. Separuh masa pertama tamat dengan Vietnam berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, pemain negara tidak membuang masa dan terus melancarkan asakan bagi mencari gol penyamaan. Namun, kegagalan barisan serangan untuk menyempurnakan peluang nyata membantutkan hajat Malaysia.

Ketika pasukan negara sedang leka melancarkan gerakan serangan, The Golden Dragon secara tiba-tiba berjaya menjaringkan gol kedua menerusi rembatan kencang Nguyen Anh Duc pada minit ke-60. Anh Duc mudah menewaskan benteng pertahanan Malaysia dan melepaskan satu rembatan deras bagi menjaringkan gol kedua.

Tam Cheng Hoe kemudiannya memasukkan Hazwan Bakri dan Safawi Rasid bagi mempertajamkan lagi barisan serangan. Peluang terbaik Malaysia untuk menjaringkan gol hadir menerusi satu sepakan percuma namun sepakan yang diambil oleh Safawi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan mereka menghuni tangga kedua dalam kumpulan A di belakang pasukan Myanmar manakala Malaysia pula jatuh ke tangga ketiga.

Harimau Malaya perlu menang dalam perlawanan terakhir menentang pasukan Myanmar pada 24 November ini jika mahu melangkah ke peringkat separuh akhir.

Di samping itu, diharapkan perlawanan diantara pasukan Myanmar dan Vietnam nanti berakhir dengan keputusan seri bagi mencerahkan peluang pasukan negara untuk mara ke separuh akhir.

Baca Juga: Kami Pun Nak Menang – Nguyen Van Quyet

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *