Hadi Fayyadh Berangkat Ke Jepun Minggu Hadapan

Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan berangkat ke Jepun sekali lagi pada minggu hadapan bagi menjalani latihan bersama kelab Fajiano Okoyama selama 5 hari bermula 19 hingga 23 September ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd, Hiroshi Hamada yang menjadi watak utama bagi membawa Hadi Fayyadh beraksi bersama kelab di Jepun.

“Saya akan membawa Hadi ke Jepun minggu depan bagi menjalani latihan bersama kelab Fajiano Okayama di Okayama, Jepun.

“Selaku penaja kepada pa­sukan bola sepak Malaysia, Yakult akan membantu Hadi untuk menjalani latihan di sana dan besarlah harapan saya agar dia diterima dalam mana-mana pasukan di Jepun untuk perkembangan kariernya yang akan menyumbang kepada kemajuan bola sepak negara ini.

“Berkaitan keputusan latihan Hadi bersama kelab Roasso Kumamoto sebelum ini, saya telah mendapat maklum balas positif bahawa mereka memuji prestasi yang ditunjukkan oleh pemain remaja itu sepanjang bersama mereka.

“Bagaimanapun, mereka ma­sih belum dapat memberikan apa-apa keputusan memandangkan mereka sedang fokus bagi mengekalkan kedudukan di Liga Divisyen 2, Liga Bola Sepak Profesional Jepun. Mereka berjanji akan memberi jawapan selewatnya akhir Oktober ini.

“Saya secara peribadi mengharapkan agar Hadi dapat me­nunjukkan prestasi yang baik dalam sesi latihan bersama skuad senior Fajiano Okayama akan datang bagi mendapat tempat dalam kelab itu nanti” kata Hamada kepada Kosmo.

Sebelum ini, Hadi menjalani ujian bersama pasukan Ruasso Kumamoto. Selama enam hari beraksi bersama Ruasso, Hadi berjaya menjaringkan dua gol ketika Ruasso beraksi dalam perlawanan persahabatan.

Apa yang pasti, Hadi perlu menampilkan aksi terbaik beliau bagi memikat barisan kejurulatihan Fajiano Okoyama. Tempoh latihan yang singkat membuatkan Hadi harus segera menyesuaikan diri dan mempamerkan aksi terbaik beliau.

Apa pendapat anda mengenai penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang akan berangkat ke Jepun bagi menjalani latihan bersama Fajiano Okoyama? Mampukah Hadi menampilkan aksi terbaik beliau sekaligus memikat barisan kejurulatihan Fajiano?

Baca Juga: Dimana Hadi Akan Beraksi Selepas Ini?

Leave a comment

Your email address will not be published.