Hadi Fayyadh Dapat Suntikan Semangat Baru
- Luar Negara
- Sep 25, 2018
- No comment
Penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak seperti mendapat suntikan semangat baru apabila beliau selesai daripada menjalani latihan bersama kelab Divisyen 2 J League, Fagiano Okayama.
Hadi yang menjalani latihan seminggu bersama Fagiano berjaya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sekaligus mendapat pujian rakan sepasukan dan juga media tempatan.
Tambah Hadi, beliau mahu menggunakan pengalaman yang diperolehi ketika berlatih bersama Ruasso Kumamoto dan Fagiano Okayama untuk membantu pasukan bawah 19 tahun negara layak ke temasya Piala Dunia Bawah 20 Tahun di Poland tahun hadapan.
“Bermain di sini bukan satu perkara yang mudah tetapi saya dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama mereka.
“Walaupun mereka berada di tahap yang lebih tinggi dari Malaysia, namun mereka sentiasa membantu saya sepanjang sesi latihan berlangsung.
“Sememangnya, banyak yang saya pelajari di sini dan saya berazam untuk memberikan fokus kepada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019 pada bulan depan yang menawarkan tiket ke Piala Dunia B-20,” katanya kepada Berita Harian.
Hadi turut mengulas mengenai pengalaman ketika berlatih bersama Fagiano dan beliau menyifatkan ianya satu pengalaman yang menarik dan berharap dapat kembali lagi bersama Fagiano pada masa akan datang.
“Saya gembira dengan pengalaman ini dan harap diterima dalam pasukan ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada kerana membantu sepanjang saya berada di sini,” tambah beliau.
Apa yang pasti, pengalaman dan juga suntikan semangat yang diperoleh Hadi boleh diguna pakai ketika pasukan bawah 19 tahun negara beraksi dalam temasay AFC Bawah 19 Tahun di Indonesia Oktober ini. Gandingan beliau bersama Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran dan seorang lagi penyerang, Zafuan Azeman akan menjadi harapan utama pasukan bawah 19 tahun negara nanti.
Apa pendapat anda mengenai tempoh latihan Hadi Fayyadh bersama Fagiano Okayama yang telah tamat pada Ahad lalu ? Mampukah beliau meningkatkan tahap dan juga kualiti permainan setelah berlatih bersama kelab Divisyen 2 J League ?
Baca Juga: Hadi Fayyadh Pukau Media Jepun