Hadi Fayyadh Jalani Ujian Bersama Kelab Jepun
- Liga Perdana
- Aug 1, 2018
- No comment
Penyerang pasukan bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan terlepas aksi bersama pasukan bawah 23 tahun pada temasya Sukan Asia 2018 kerana beliau akan menjalani ujian bersama kelab Jepun yang dijadualkan pada 6 Ogos ini.
Nama Hadi mula menjadi tumpuan apabila beliau dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee untuk mewakili Malaysia pada temasya Sukan SEA 2017.
Hadi sekali lagi mencuri tumpuan apabila beliau mempamerkan aksi yang cemerlang ketika membantu Malaysia menduduki tangga kedua kumpulan F dalam kempen kelayakkan Piala AFC Bawah 19 Tahun di Korea Selatan tahun lalu.
Persembahan cemerlang Hadi tidak terhenti setakat itu sahaja. Beliau juga menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala AFF Bawah 19 Tahun di Indonesia baru-baru ini. Meskipun gagal untuk menjaringkan gol, namun kelibat Hadi di bahagian serangan berjaya menghadirkan ancaman kepada pertahanan lawan.
Masih lagi belum diketahui sama ada Hadi akan menjalani ujian bersama kelab yang beraksi di divisyen pertama ataupun divisyen kedua. Apa yang pasti, Hadi perlu memberikan fokus yang sepenuhnya apabila beliau memulakan tempoh ujian pada 6 Ogos nanti.
Jadikan kegagalan pemain sebelum yang mencuba nasih di luar negara namun kemudiannya kembali ke tanah air sebagai pembakar semangat agar beliau tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh mereka.
Dengan ketiadaan Hadi, barisan serangan pasukan negara kini hanya mempunyai N.Thanabalan dan juga Jafri Firdaus Chew. Jika Datuk Ong tidak membuat sebarang penambahan, maka kita akan menyaksikan salah satu dari dua pemain ini akan membarisi barisan serangan negara disamping Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
Apa pendapat anda mengenai penyerang Johor Darul Ta’zim II, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang akan menjalani ujian bersama salah sebuah kelab Jepun pada 6 Ogos ini ? Mampukah Hadi menunjukkan potensi beliau yang sebenar ketika ujian tersebut sekaligus mendapatkan kontrak profesional ?
Baca Juga: Ketiadaan Nor Azam Dan Davies Bakal Beri Kesan ?