Hadi Fayyadh Tidak Lagi Kekok Bersama Okayama

Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak mengakui beliau semakin selesa beraksi bersama Fagiano Okayama dimana penyerang berusia 19 tahun ini menjalani tempoh percubaan kedua bersama kelab Jepun itu.

Menurut Hadi yang berada di sana sejak 22 November lalu, beliau kini berjaya membentuk gandingan yang mantap bersama rakan sepasukan dan jurulatih yang dilihat tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dengannya.

“Saya mendapat kerjasama penuh daripada pihak Fagiano Okayama. Saya semakin selesa dan rapat dengan pemain lain memandangkan ini kali kedua saya bersama mereka.

“Saya juga sudah belajar sedikit bahasa Jepun dan mula berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hadi menambah cuaca sejuk yang kini dialami oleh negara matahari terbit itu sedikitpun tidak menjadi halangan buat beliau kerana dia pernah mengharungi perlawanan kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Korea Selatan sebelum ini.

“Apa yang penting adalah saya perlu berusaha keras untuk mendapatkan tempat bersama pasukan ini kerana ia menjadi impian saya sejak kecil untuk menimba pengalaman di luar negara.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak Yakult Malaysia, terutamanya kepada Hiroshi Hamada yang berusaha keras membantu saya mendapatkan tempat di sini,” tambah Hadi.

Selain menjalani tempoh percubaan bersama Fagiano Okayama, sebelum ini Hadi turut menjalani ujian bersama satu lagi kelab Jepun iaitu Ruasso Kumamoto selama dua minggu.

Apa yang penting, Hadi perlu memberikan tumpuan dan fokus penuh semasa berada di Okayaman dan menampilkan segala kebolehan serta kemampuan yang belau miliki bagi memikat hati barisan kejurulatihan kelab berkenaan.

Jika berjaya memperoleh kontrak profesional bersama Fagiano, maka perkara itu akan menjadi pencapaian terbesar bagi Hadi dan beraksi dalam saingan Liga Jepun sudah pasti bakal meningkatkan lagi tahap dan mutu permainan beliau.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Kaji Corak Permainan Thailand

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *