Hadi Perlu Lebih Kuat – Bojan Bodak
- Luar Negara
- Dec 22, 2018
- No comment
Pengendali pasukan bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak menggesa penyerang pasukan kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk lebih kuat dalam perjalanan beliau bersama kelab J2, Fagiano Okayama.
Bojan berkata demikian bagi memastikan perjalanan Hadi bersama Fagiano tidak bersifat sementara dan mampu untuk bertahan lama.
“Kebanyakan pemain Malaysia yang beraksi di luar negara, mereka mencuba dengan baik tetapi akhirnya pulang lebih awal atas pelbagai sebab. Jadi saya mengharapkan Hadi Fayyadh dapat kekal lebih lama apabila berada di sana.
“Bagi saya, menyertai pasukan divisyen dua Jepun sudah dianggap cukup baik untuk pemain Malaysia dan dia perlu bekerja keras untuk berjaya pada saingan liga yang sudah pastinya lebih mencabar.
“Namun saya yakin Hadi Fayyadh mampu melakukannya kerana dia seorang pemain yang begitu rajin. Berbekalkan kualiti dimilikinya, dia tentu dapat mencipta nama di sana apatah lagi beraksi di Jepun sememangnya menjadi impiannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Hadi menjadi bualan para peminat bola sepak negara apabila beliau sah menyertai pasukan Fagiano Okayama setelah dua kali menjalani tempoh percubaan sebelumnya.
Pasukan yang beraksi dalam Divisyen Dua Liga Jepun (J2) itu menandatangani khidmat penyerang tinggi lampai itu selepas dia menjalani dua sesi latihan bersama mereka pada September dan November lalu.
Musim lalu, pasukan bimbingan Tetsu Nagawasa itu menamatkan saingan di tangga ke-15 daripada 22 pasukan selepas menghimpun 53 mata menerusi 14 kemenangan dan 11 seri.
Apa yang pasti, Hadi perlu mempunyai mental yang kuat dan perlu menampilkan persembahan terbaik bagi memastikan beliau mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
Fagiano mengikat Hadi Fayyadh selama satu tahun.
Baca Juga: Hadi Fayyadh Sah Menyertai Fagiano Okayama