Harimau Malaya Atasi Myanmar Dengan Bergaya
- Harimau Malaya
- Nov 24, 2018
- No comment
Skuad Harimau Malaya berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018 apabila menundukkan pasukan Myanmar dengan keputusan 3-0 sebentar tadi.
Malaysia bermula dengan baik apabila menguasai permainan dengan melakukan hantaran-hantaran pendek dimana perkara itu telah menyukarkan pemain pasukan Myanmar untuk melakukan sebarang gerakan serangan.
Barisan serangan pasukan negara juga tidak kurang hebatnya apabila memberikan asakan sejak minit pertama dan benteng pertahanan lawan dilihat sedikit sukar untuk mengawal Norshahrul Idlan Talaha dan rakan-rakan di atas.
Usaha berterusan pemain negara akhirnya menjelmakan jaringan apabila Norshahrul bijak menolak masuk bola setelah percubaan awal Mohamadou Sumareh terkena palang gol.
Sebelum rehat separuh masa pertama, Malaysia dihadiahkan sepakan penalti apabila pemain sayap negara, Safawi Rasid dijatuhkan dalam kotak penalti. Ketua pasukan, Zaquan Adha tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan meletakkan Harimau Malaya dua gol fi hadapan.
Bermula separuh masa kedua, pasukan negara tidak mengendurkan walau sedikit rentak permainan dan Myanmar dilihat gagal untuk menembusi benteng pertahanan yang dikawal dengan rapi oleh Aidil Zafuan dan Shahrul Saad.
Selain barisan pertahanan yang beraksi dengan baik, barisan tengah juga menampilkan aksi yang bertenaga apabila Syamer Kutty Abba dan Akram Mahinan berjaya mematahkan segala gerakan serangan yang diatur oleh pasukan lawan.
Menuju ke penghujung permainan, Malaysia menjaringkan gol ketiga apabila pemain pertahanan Myanmar membuat kesilapan ketika mahu mengeluarkan bola. Rembatan beliau terkena badan Zaquan dan bola tersebut melantun ke dalam pintu gawang mereka.
Dengan kemenangan ini, maka Malaysia telah mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir dan bakal berhadapan sama ada pasukan Thailand ataupun Filipina yang bakal beraksi pada esok.
Baca Juga: Tan Cheng Hoe Positif Malaysia Mampu Raih Kemenangan