Harimau Malaya Benam Juara Asia Selatan!

Skuad Harimau Malaya berjaya mendapatkan tonik positif menjelang perlawanan pembukaan kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 apabila membenam cabaran juara Asia Selatan, Maldives dengan keputusan 3-0 sebentar tadi.

Pasukan negara bermula dengan garang apabila terus melancarkan gerakan serangan ke kubu pertahanan lawan. Asakan awal para pemain negara membuahkan hasil apabila ketua pasukan, Zaquan Adha membuka tirai jaringan pada minit ke-15.

Zaquan bijak menyempurnakan hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha dimana penyerang Kuala Lumpur ini menolak masuk bola menggunakan lutut beliau bagi meletakkan Malaysia di hadapan.

Tersentak dengan gol pembukaan Malaysia, Maldives menggandakan gerakan serangan ke kubu pertahanan Malaysia. Pemain Maldives bijak untuk memanfaatkan kesilapan mudah barisan pertahanan negara namun tiada jaringan yang berjaya dijelmakan. Separuh masa pertama tamat dengan Malaysia berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe membuat beberapa pertukaran di bahagian tengah dan juga pertahanan. Sama seperti separuh masa pertama, barisan pertahanan negara melakukan beberapa kesilapan yang membahayakan pintu gol pasukan negara. Mujur barisan serangan Maldives tidak berfungsi dengan baik pada perlawanan sebentar tadi.

Berbaki 15 minit masa perlawanan sebenar, Cheng Hoe memasukkan Safawi Rasid dan Hazwan Bakri bagi mempertajam barisan serangan. Pada minit ke-81, Malaysia memperoleh gol kedua apabila Safawi melakukan satu percubaan ala-ala tekong sepak takraw mahu mengambil servis. Pemain sayap Johor Darul Ta’zim ini bijak mengambil kesempatan di atas keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti juara Asia Selatan ini.

Pada masa tambahan, Mohamadou Sumareh membuat satu larian pantas sekaligus menewaskan barisan pertahanan Maldives untuk menjaringkan gol ketiga Malaysia. Keputusan 3-0 kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel menandakan permainan tamat.

Kemenangan ke atas Maldives ini merupakan pembakar semangat kepada pemain negara menjelang perlawanan pembukaan kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki edisi 2018. Daripada perlawanan sebentar tadi juga kami berpendapat Tan Cheng Hoe sudah mempunyai bayangan mengenai pemain yang akan beliau bawa untuk menggalas cabaran Harimau Malaya.

Baca Juga: Zaquan Adha Mahu Perbaiki Prestasi

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *