Harimau Malaya Sudah Sedia Menggegar

Ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe menaruh sepenuh kepercayaan kepada pemain yang beliau pilih dan yakin mereka sudah sedia untuk memberikan yang terbaik pada perlawanan pembukaan kumpula A Piala AFF Suzuki 2018 menentang pasukan Kemboja esok.

Cheng Hoe sebelum ini menerima kritikan hebat daripada peminat kerana beliau menggugurkan nama pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih daripada 23 pemain yang dipilih. Namun, Cheng Hoe menegaskan adalah sesuatu yang normal apabila jurulatih mempunyai falsafah mereka sendiri.

“Saya percaya setiap jurulatih mempunyai falsafah tersendiri dan setiap pemain yang terpilih menyertai kejohanan ini memiliki kelebihan serta berupaya memberi dimensi baharu di posisi masing-masing.

“Setakat ini, saya lihat semua pemain sudah bersedia secara fizikal dan mental kerana pasukan perlu meraih keputusan positif pada aksi pertama menentang Kemboja memandangkan peminat menaruh harapan tinggi buat pasukan tahun ini,” katanya kepada Kosmo.

Pada masa yang sama, Tan Cheng Hoe enggan untuk berasa yakin meskipun pasukan negara pernah menewaskan pasukan bimbingan Keisuke Honda ini pada satu perlawanan persahabatan. Sebaliknya beliau menganggap peluang kedua-dua pasukan adalah sama rata.

“Perlawanan persahabatan dan kompetitif amat berbeza tetapi pemain akan memainkan peranan penting buat pasukan sekiranya berhasrat untuk me­ngulangi kemenangan lepas.

“Saya dan barisan kejurulatihan sudah berbincang me­ngenai gambaran kesebelasan utama tetapi saya akan pantau sehingga ke saat akhir sekiranya berlaku kecederaan yang tidak diingini pada sesi latihan,” tambah bekas pembantu kepada “The Professor” Nelo Vingada.

Apa yang pasti, kemenangan pada perlawanan pertama menentang pasukan Kemboja akan memberikan motivasi tambahan kepada para pemain sekaligus mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir. Para pemain perlu menampilkan permainan terbaik mereka bagi memastikan Harimau Malaya pulang dengan tiga mata.

Selepas aksi menentang Kemboja, skuad Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan Laos (12 November), Viet­nam (16 November) sebelum mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November.

Baca Juga: 7 Bintang Muda Yang Bakal Menjadi Tumpuan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *