Hazwan Bakri Dan Darren Lok Masih Mempunyai Peluang ?
- Harimau Malaya
- Aug 29, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe memanggil enam pemain di bahagian serangan bagi menyertai kem latihan pusat pasukan negara. Namun, kelibat dua penyerang yang sebelum ini mengisi posisi penyerang utama, Hazwan Bakri dan Darren Lok tidak dipanggil. Adakah kedua-dua penyerang ini masih mempunyai peluang untuk tampil bersama pasukan negara ?
Tan Cheng Hoe memanggil Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Zaquan Adha, Akhyar Rashid, Shahrel Fikri dan Norshahrul Idlan Talaha bagi menyertai kem latihan pusat untuk persediaan menghadapi Chinese Taipei dan Kemboja dalam satu perlawanan persahabatan.
Kita boleh melihat Cheng Hoe menggabungkan pemain muda antaranya Safawi, Syafiq dan Akhyar untuk diadunkan dengan pemain senior iaitu Norshahrul, Zaquan dan Shahrel.
Kita sedia maklum trio “SAS” ketika ini berada dalam prestasi yang baik setelah menampilkan aksi yang cemerlang pada temasya Sukan Asia 2018 baru-baru ini. Dengan adanya pemain senior, Cheng Hoe dilihat boleh melakukan beberapa eksperimen di bahagian serangan pasukan negara.
Kami berpendapat jika Hazwan Bakri dan Darren Lok mahu tersenarai dalam pasukan negara dengan adanya trio “SAS” dan pemain senior yang lain, mereka perlu bekerja keras bagi mencapai matlamat tersebut.
Zaquan Adha, Norshahrul dan Shahrel Fikri dilihat satu pilihan yang bijak kerana ketiga-tiga pemain senior ini menampilkan aksi yang baik bersama pasukan negara dan juga kelab masing-masing.
Zaquan diberi kepercayaan bukan sahaja sebagai penyerang utama, malah sebagai ketua pasukan pada perlawanan menentang Lebanon dan juga Bhutan. Mat Yo menampilkan kebangkitan bersama Pahang musim ini dan Shahrel Fikri berjaya mencipta impak bersama Nakhon Ratchasima.
Hazwan dan Darren perlu mencipta impak dalam saingan Piala Malaysia jika mahu berpeluang untuk dipanggil Tan Cheng Hoe bagi mewakili pasukan negara pada temasya Piala AFF Suzuki 2018.
Apa pendapat anda mengenai situasi Hazwan Bakri dan Darren Lok bersama pasukan negara ? Adakah kedua-dua pemain masih lagi mempunyai peluang untuk tampil bersama pasukan kebangsaan pada masa akan datang ?
Baca Juga: Peluang Nazmi Faiz Mansor Kukuhkan Kedudukan