Hutang Lapuk KAFA Ditanggung Pengurusan Baru
- Liga Perdana
- Feb 4, 2019
- No comment
Khabar gembira datang dari kem pasukan Kelantan apabila pengurusan baru pasukan itu, Kelantan Red Warriors SDN BHD bersedia untuk menjelaskan hutang lapuk persatuan itu secara berperingkat.
Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn Bhd, Fazli Mohammad yang mana jumlah hutang yang perlu diselesaikan adalah berjumlah sekitar RM5,000,000 dan dari jumlah itu RM3,500,000 adalah tunggakan bayaran gaji pemain-pemain sebelum ini.
Baki dari jumlah tunggakan gaji tersebut termasuklah bayaran tunggakan sewa stadium serta pelbagai lagi tunggakan lain yang ditinggalkan sejak KAFA dibawah pentadbiran Tan Sri Annuar Musa sehingga tahun 2018.
Tambah Fazli, geran yang akan diterima oleh pasukan dari pihak MFL akan diserahkan kepada pihak KAFA untuk digunakan bagi melakukan pembangunan bola sepak bawah umur.
“Perjanjian usahasama ini telah ditandatangani pada 14 Januari 2019 dan secara rasminya telah bermula pada 2 Febuari 2019,” kata Fazli menurut laporan Vocket FC.
Fazli turut menjelaskan bahawa jumlah hutang yang ditanggung oleh pihak KAFA tidak begitu serius dan masih lagi boleh diuruskan. Dengan penstrukturan semula hutang-hutang sedia ada, pihaknya telah berjaya memperoleh pengurangan dari pihak-pihak yang terbabit dengan KAFA.
Pihak KRW Sdn Bhd mahu menyelesaikan hutang-hutang lapuk terlebih dahulu bagi memudahkan mereka untuk mencorakkan pengurusan baharu pasukan mulai musim 2019 serta memastikan pasukan The Red Warriors kembali ke saingan unifi Liga Super musim hadapan.
Selain mahu melangsaikan hutang persatuan, KRW Sdn Bhd juga akan menguruskan 3 buah pasukan iaitu skuad utama Kelantan, skuad Piala Presiden dan skuad Piala Belia.
Masalah hutang sememangnya menjadi halangan utama pasukan Kelantan untuk menampilkan aksi terbaik mereka sejak tiga musim kebelakangan ini.
Prestasi turun naik pasukan mengakibatkan mereka terpaksa beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini setelah menamatkan saingan Liga Super musim 2018 di zon penyingkiran.
Baca Juga: Beraksi Sebelah Petang Perkara Baru Buat Kelantan – Bibi Ramjani