I’m Ok Man! Mohamadou Sumareh
- Harimau Malaya
- Aug 30, 2018
- No comment
Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh berkata beliau tidak kecewa apabila nama beliau tiada dalam senarai 24 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat pasukan negara bagi persediaan menentang Taiwan dan Kemboja yang akan bermula 3 September ini.
Menurut laporan Berita Harian, Sumareh menghormati keputusan yang dibuat oleh Cheng Hoe dan yakin bekas pengendali Kedah ini mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak memasukkan nama beliau.
“Saya tidak kecewa tak dipanggil. Saya menghormati keputusannya, sudah pasti beliau ada alasan tersendiri. Saya tidak menunggu untuk dipanggil dan memikirkan perkara ini kerana apa yang penting, saya mahu terus bermain membantu Pahang dalam saingan Piala Malaysia.
“Saya juga tidak tahu status sebenar saya untuk bermain bersama skuad kebangsaan kerana tidak pernah dihubungi FAM atau jurulatih Tan Cheng Hoe sebelum ini, jadi saya tidak boleh memberi komen. Apa yang saya tahu hanya daripada laporan media dan komen penyokong di media sosial,” katanya ketika dihubungi.
Ramai pihak yang mencadangkan Cheng Hoe untuk memanggil Sumareh kerana pemain ini telah mendapat kerakyatan Malaysia dan boleh dijadikan pemain naturalisasi. Akan tetapi, Cheng Hoe dilihat mempunyai perancangan lain apabila memanggil anak tempatan untuk menentang Taiwan dan Kemboja.
Setelah menghadapi Taiwan dan Kemboja, pasukan negara masih lagi mempunyai tiga lagi perlawanan persahabatan iaitu bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat pada 16 Oktober dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November.
Mohamadou Sumareh masih lagi mempunyai peluang untuk tampil bersama pasukan negara sekiranya Tan Cheng Hoe memanggil beliau bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan ini.
Apa pendapat anda mengenai situasi Mohamadou Sumareh bersama pasukan kebangsaan ? Wajarkah beliau dipanggil untuk menyertai pasukan Malaysia bagi menghadapi perlawanan persahabatan bagi membuktikan kemampuan beliau ?
Atau ianya masih lagi terlalu awal untuk pemain berstatus naturalisasi beraksi bersama pasukan negara di pentas antarabangsa ?
Baca Juga: Wajarkah Pemain Naturalisasi Dan Kacukan Dipanggil ?