Impak Dickson Nwakaeme Kepada Pahang
- Liga Super
- Jan 20, 2019
- No comment
Maka, terjawab sudah segala khabar angin yang berlegar-legar di media sosial berkenaan kedatangan semula Dickson Nwakaeme ke pangkuan pasukan Pahang FA. Pemain yang digelar sebagai “Orang Besi” oleh kebanyakan penyokong Pahang itu sah menyarung jersi nombor 10 Pahang apabila mula menyertai sesi latihan petang di Padang Latihan Taman Gelora petang semalam.
Terdahulu, beliau pernah menyarung jersi Pahang pada tahun 2014 dan 2015. Sudah pasti tahun 2014 menjadi tahun terbaik buat beliau bilamana beliau berjaya menjulang tiga piala buat Pahang iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia. Tambahan pula beliau berjaya menjaringkan gol kemenangan Pahang pada perlawanan akhir Piala FA dan menyumbangkan dua gol pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
Melihat dari satu sudut, kedatangan Dickson Nwakaeme bakal memberi impak besar kepada pasukan Pahang. Pertamanya, impak kepada pasukan Pahang itu sendiri. Seperti semua sedia maklum, rekod prestasi beliau bersama pasukan Pahang cukup baik. Walaupun dia hanya mencetak 14 gol sepanjang dua musim bersama Pahang, beliau juga banyak mencipta peluang gol untuk pemain-pemain lain menjaringkan gol. Kelibat beliau juga mampu mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan.
Keduanya, impak kepada kedatangan penonton di stadium. Sesi latihan di Padang Latihan Taman Gelora semalam dimeriahkan dengan kedatangan para penyokong Pahang. Kawasan tempat letak kereta dikhabarkan penuh dan peminat-peminat cilik menjerit kegirangan apabila melihat kelibat Dickson Nwakaeme . Maka, itu sudah memberi bayangan jelas bahawa penyokong Pahang akan lebih berminat untuk ke stadium bagi melihat beliau beraksi.
Melihat dari perspektif yang lain pula, penyokong Pahang perlu lebih realistik dan perlu merendahkan expectation. Hal ini kerana, atas faktor usia beliau kini yang sudah menjangkau 33 tahun berkemungkinan prestasi beliau tidak sehebat dulu. Prestasi beliau bersama kelab lamanya Angers SCO juga tidak memberangsangkan. Namun begitu, mungkin Pahang FA bakal menjadi tempat terbaik untuk beliau menunjukkan semula taring yang sudah tumpul.
Bagaikan sirih pulang ke gagang, bagaikan limbat pulang ke lubuk. Seluruh penyokong pasukan Pahang berbesar hati menerima saudara Dickson Nwakaeme kembali semula menyarung jersi Pahang dan jersi keramat bernombor 10. Semoga beliau dapat menjumpai tonik terbaik untuk mempertajamkan barisan serangan pasukan Pahang.
Harapnya, PBNP juga mampu mencari pemain import yang mantap juga untuk menjadi gandingan beliau di barisan hadapan. Selamat maju jaya Dickson Nwakeme dan Pahang FA!
Zul Effandi (Sabtu 19 Jan 2019)
Penyokong Pahang FA sejak 1992, graduan Bacelor Sains Taman & Rekreasi, Fakulti Perhutanan, UPM Serdang
Baca Juga: “Orang Besi” Kukuhkan Jentera Serangan Pasukan Pahang