Import Kedah Dedah Punca Kegagalan Pasukan Musim Ini
- Liga Super
- Aug 1, 2018
- No comment
Tonggak utama pasukan Helang Merah yang berasal daripada Brazil, Sandro Da Silva mengakui kegagalan pasukan Kedah untuk memberikan saingan musim ini berpunca daripada masalah dalaman yang dihadapi oleh pasukan itu.
Beliau mendedahkan terlalu banyak masalah dalaman berlaku yang menyumbang kepada kegagalan Kedah bersaing di dalam Liga Super musim ini. Untuk rekod pertahanan, musim ini Kedah merekodkan jumlah bolos 36 gol iaitu satu yang agak besar berbanding musim lepas iaitu 33 gol.
Beliau mengakui bahawa Kedah mengalami musim yang sangat sukar. “Banyak masalah berlaku dalam pasukan ini yang tidak boleh saya dedahkan. Namun, saya boleh simpulkan ia menyumbang kepada kegagalan kami dalam liga” ujar pemain berusia 34 tahun itu.
Pasukan Kedah terpalit dengan isu pertukaran ketua jurulatih dan prestasi import yang tidak menepati jangkaan juga antara penyumbang kepada kegagalan Kedah bersaing di dalam Liga Super musim ini.
Isu utama adalah prestasi tidak konsisten dan kekurangan keghairahan para pemain untuk menang menyebabkan kedah gagal menyaingi pasukan lain dalam Liga Super dan Piala FA. Beliau berharap agar rakan sepasukannya dapat berjuang dengan semangat baru bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada Ahad ini.
Sandro dijangka akan mengangkat kaki sebaik sahaja tamatnya saingan Piala Malaysia setelah mula berkhidmat dengan pasukan Helang Merah tersebut pada tahun 2015. Bercakap kepada Berita Harian, Sandro menerima apa jua keputusan yang dilakukan oleh pengurusan tentang masa depannya dengan hati yang terbuka.
Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi (Mat Don) adalah pemain import kesayangan peminat kedah yang menjadi nadi utama kejayaan Kedah pada musim kebelakangan ini. Selamat maju jaya diucapkan kepada pasukan Kedah dan juga Sandro bagi saingan Piala Malaysia edisi 2018.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Emeir Heyqal. Jika anda mempunyai pendapat yang mahu dikongsikan, hubungi kami menerusi laman media sosial bagi mengketengahkan pendapat anda.
Baca Juga: team Of The Season Liga Super 2018 Versi Inikan Bola