Irfan Zakaria Dan R.Kogileswaran Pilihan Alternatif

Ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berharap perubahan posisi Irfan Zakaria dan R.Kogileswaran ketika beraksi bersama Kuala Lumpur dan Pahang dapat membantu jentera tengah pasukan negara pada temasya Sukan Asia 2018.

Semalam, Datuk Ong terpaksa membuat perubahan sebelum berangkat ke Indonesia apabila beliau menggugurkan Danial Amier Norhisham kerana kecederaan pangkal paha yang dialami oleh pemain tengah Felda United ini mengambil masa yang cukup lama untuk pulih.

Setelah menggugurkan Danial Amier, Datuk Ong memanggil semula pemain pertahanan PKNS FC, Rodney Calvin setelah sebelumnya Rodney disisihkan daripada senarai 20 pemain terakhir.

Dengan ketiadaan Danial, bahagian tengah negara hanya mempunyai tiga pemain iaitu Baddrol Bakhtiar, Nik Akif Syahiran dan Syahmi Safari. Perkara ini nyata merisaukan Datuk Ong kerana beliau bimbang kecederaan bakal berlaku ketika perlawanan peringkat kumpulang sedang berlangsung.

Oleh itu, beliau mahu menggunakan Irfan Zakaria dan R.Kogileswaran jika kecederaan menimpa salah seorang daripada tiga pemain tengah sedia ada. Untuk rekod, Irfan dan Kogi mampu untuk beraksi di bahagian tengah.

Irfan diletakkan di bahagian tengah sepanjang beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Meskipun The City Boys menamatkan saingan Liga Super musim 2018 di tangga ke-10, namun Irfan sentiasa menampilkan aksi yang cemerlang.

Kogi pula pernah diletakkan di bahagian tengah oleh Dollah Saleh pada beberapa perlawanan dalam saingan Liga Super 2018. Sama seperti Irfan, pemain berusia 20 tahun ini menunjukkan satu prestasi yang baik sepanjang musim 2018.

Apa yang pasti, pemain sedia ada yang mampu untuk beraksi di beberapa posisi sememangnya satu kelebihan tersendiri yang dimiliki oleh pasukan bawah 23 tahun negara. Kini, para pemain perlu memberikan sepenuh fokus mereka bagi menghadapi Kyrgyztan pada esok.

Penting untuk Malaysia meraih kemenangan pada perlawanan pertama kerana selepas ini pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee akan menentang pemenang pingat emas edisi sebelumnya, Korea Selatan pada perlawanan kedua. Korea Selatan akan dipimpin oleh pemain sayap terbaik Asia, Song Heung-min dan sudah pasti mereka akan menjadi lawan yang sangat berbahaya.

Baca Juga: Danial Amier Norhisham Digugurkan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *