Isael Barbosa Bakal Sertai Johor Darul Ta’zim ?

Juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim dikhabarkan mahu membawa masuk khidmat pemain tengah dari Brazil, Isael Barbosa bagi mengukuhkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan.

Isael sebelum ini mengumuman beliau mahu mencari cabaran baru selepas lima musim beraksi bersama kelab Liga Premier Kazakhstan, FC Kairat. Pemain berusia 30 tahun ini mengumumkan perpisahan beliau dengan Kairat menerusi laman Instagram milik beliau.

Isael yang memulakan karier bola sepak profesional bersama kelab Brazil, Gremio ini mampu untuk beraksi di beberapa posisi selain bahagian tengah. Ketika bersama FC Kairat, Isael pernah beraksi di bahagian sayap.

Menurut laporan Transfermark.com, Isael berjaya menjaringkan 38 gol dalam semua kejohanan sepanjang beraksi bersama FC Kairat. Beliau juga pernah tampil dalam peringkat kelayakan saingan UEFA Europa League.

Berita mengenai perpindahan Isael ke Johor Darul Ta’zim sedang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini. Bahkan, laman Transfermark.com sendiri telah menulis perpindahan Isael ke JDT di laman profil pemain itu.

Jika benar Isael Barbosa dibawa masuk menjelang saingan musim 2019 nanti, berkemungkinan besar beliau akan mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Fernando Elizari dimana pemain ini telah kembali ke kelab asal beliau setelah tamat tempoh pinjaman bersama JDT.

Pengalaman yang dimiliki oleh bekas pemain Coritiba ini dilihat menjadi sebab utama mengapa JDT mahu mengambil khidmat beliau. Pernah beraksi di pentas besar seperti UEFA Europa League serta mampu untuk menjadi di pelbagai posisi menjadikan Isael pemain yang mampu untuk memperkemaskan jentera tengah juara lima kali Liga Super ini.

Setakat ini, Johor Darul Ta’zim telah membawa masuk dua pemain import iaitu pemain pertahanan dari Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento dan pemain tengah dari Sepanyol, Aaron Niguez yang merupakan abang kepada pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez.

Baca Juga: Mahu Menang Banyak Piala – Aaron Niguez

Leave a comment

Your email address will not be published.