Ismail Zakaria Hilang Sabar Dengan Kuantan FA
- Lain-lain
- Feb 11, 2019
- No comment
Bekas ketua jurulatih pasukan Kuantan FA, Ismail Zakaria sudah hilang sabar dengan bekas majikannya itu apabila mereka masih lagi belum melunaskan tunggakan gaji beliau walaupun sudah berulang kali mendapat gesaan daripada badan induk bola sepak negara.
Menurut Ismail, beliau tidak teragak-agak untuk melantik peguam luar jika pihak pengurusan Kuantan FA masih lagi mengambil langkah berdiam diri mengenai tunggakan gaji beliau. Bekas pengendali Kuala Lumpur itu menegaskan tindakan itu diambil bukan saja untuk mewakili dirinya tetapi juga mewakili bekas pemain pasukan itu.
“Kalau tiada apa-apa, saya mungkin akan lantik peguam luar!
“Memang saya sudah ada kerja tetapi ramai bekas pemain sudah tidak bekerja. Dengan banyak pasukan tutup, mereka pastinya seperti tiada arah tuju dan secara tidak langsung mereka juga tiada pendapatan.
“Dua minggu lalu, saya sudah menghubungi Jabatan Perundangan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan saya dimaklumkan mereka sudah pun tulis surat kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk bertindak atau pun selesaikan perkara ini.
“Saya diberi tempoh sebulan namun jika selepas tempoh itu habis dan masalah ini berterusan, saya terpaksa ambil tindakan lain, mungkin lantik peguam.
“Kita terpaksa tanggunglah (kos guaman). Kita kongsi ramai-ramai (bersama pemain),” katanya kepada Berita Harian.
Pada 23 Disember lalu, keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyaksikan 45 notis tuntutan dibuat oleh bekas pemain dan pegawai Kuantan FA berkaitan gaji yang berjumlah RM1.72 juta.
Tuntutan dibuat oleh Ismail Zakaria mencecah RM300,000, merangkumi tunggakan gaji berjumlah RM100,000 dan bayaran pampasan baki kontrak sebanyak RM200,000.
Meskipun sudah diberikan amaran beberapa kali oleh FAM untuk segera melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan, namun pihak pengurusan Kuantan mengambil sikap berdiam diri dan seolah-olah enggan untuk cuba mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang terjadi.
Untuk makluman, Kuantan FA disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia musim 2018 apabila mereka gagal untuk menghadiri perlawanan Liga Perdana menentang PDRM di Stadium Shah Alam pada 15 April 2018.
Baca Juga: Jadikan Kuantan FA Sebagai Pengajaran