Isu Akhyar Ke CAS Sudah Di Fasa Akhir – KFA
- Liga Super
- Jan 25, 2019
- No comment
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendedahkan kini mereka dalam fasa terakhir sebelum membawa isu perpindahan kontroversi pemain muda negara, Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Menurut laporan Berita Harian, sumber terdekat KFA mendedahkan kes berkenaan sudah difailkan kepada barisan peguam sejak dua minggu lalu. Kini mereka dalam proses terakhir untuk mendakwa tiga pihak iaitu Akhyar, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
JDT didakwa kerana menurut KFA juara Liga Super musim lalu itu menggunakan pintu belakang atau tapping up dalam usaham mereka untuk mendapatkan Akhyar.
Sementara bagi pihak FAM, mereka didakwa kerana gagal menangani isu terbabit apabila menolak rayuan jumlah pampasan kontrak pemain berusia 19 tahun itu.
“Perkara ini (isu Akhyar) sudah di fasa terakhir undang-undang oleh peguam persatuan. KFA perlu mengikut proses dan prosedur kerana isu ini bukan perkara kecil.
“Apa yang pasti, tiga pihak akan diheret dan segala maklumat mengenainya tidak boleh didedahkan. Biarlah peguam melakukan kerja mereka dan kita tunggu pengumuman rasmi daripada persatuan saja.
“Apapun, KFA tetap dengan pendirian dan tidak akan berganjak daripada matlamat asal untuk menuntut keadilan dan juga memperbetulkan sistem bola sepak negara supaya pasukan tidak lagi dibuli oleh sesetengah pihak,” katanya.
Meskipun KFA mahu membawa isu perpindahan Akhyar ke CAS, namun perkara itu tidak menghalang Johor Darul Ta’zim daripada mengumumkan Akhyar sebagai pemain mereka. Bahkan, pemain skuad bawah 19 tahun negara ini sudah menjalani beberapa perlawanan pra musim bersama pasukan barunya.
Sebelum ini, KFA mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Status FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan badan induk itu yang bermesyuarat pada 28 Disember lalu mengekalkan keputusan bahawa pemain berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus kontraknya bersama KFA, manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada skuad Hijau Kuning itu.
Baca Juga: KFA Berkeras Mahu Bawa Isu Akhyar ke CAS