Izzaq Faris Ramlan, Si Tinggi Lampai Yang Tidak Bernasib Baik

Penyerang tinggi lampai ini menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia yang memenangi Piala AFF Suzuki pada 2010 dengan menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir. Tidak hanya itu saja, penyerang ini juga menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Muda yang memenangi pingat Emas Sukan SEA 2011 di Jakarta. Siapakah penyerang yang kami maksudkan ini ? Penyerang ini adalah Izzaq Faris Ramlan. Beliau nyata tidak bernasib baik kerana sering ditimpa kecederaan.

Graduan daripada T-Team ini sudah menjadi bualan peminat bola sepak Malaysia sejak beliau berusia 20 tahun apabila Datuk K.Rajagopal memanggil beliau untuk menyertai skuad kebangsaan bagi mengharungi temasya Piala AFF Suzuki pada 2010. Namun, Izzaq jarang diturunkan ketika temasya tersebut kerana Malaysia mempunyai “gandingan emas” iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali dalam pasukan. Walaupun begitu, beliau mendapat satu pengalaman yang berharga kerana dapat beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

Pada 2011, Izzaq dipilih oleh jurulatih Harimau Muda ketika itu iaitu Datuk Ong Kim Swee bagi menyertai pasukan bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Jakarta dan Palembang. Sepanjang temasya Sukan sukan SEA 2011, Izzaq berjaya menjaringkan dua gol dan membantu skuad negara memenangi pingat emas dengan menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir. Prestasi cemerlang Izzaq membuatkan beliau sekali lagi terpilih untuk temasya Sukan SEA 2013. Tetapi kali ini, beliau gagal untuk menjaringkan sebarang gol.

Setelah program Harimau Muda ditamatkan, Izzaq menyertai pasukan negeri kelahiran beliau iaitu Terengganu. Di sinilah titik dimana kecederaan lutut yang dialami pada 2011 lalu berulang kembali. Izaaq dilihat jarang diturunkan oleh Terengganu kerana kecederaan yang dialami tidak kunjung pulih. Setelah dua musim bersama Terengganu, Izzaq akhirnya meninggalkan pasukan dan mencuba nasib bersama T-Team. Bersama T-Team, tidak banyak yang berubah buat Izzaq. Kecederaan lutu beliau nyata menyebabkan sentuhan Izzaq sudah tidak seperti dulu.

Pada 2017, Izzaq menyertai pasukan berbelanja besar ketika itu iaitu pasukan Melaka United. Namun, beliau jarang diturunkan dalam kesebelasan utama Melaka. Izzaq hanya memanaskan bangku simpanan semasa beliau berada di sana.

Untuk musim 2018 ini, Izzaq Faris Ramlan menyertai pasukan Liga FAM, Terengganu City FC. Amat disayangkan perjalanan karier beliau. Jika tidak ditimpa kecederaan yang berpanjangan, Izzaq mampu untuk menjadi senjata utama negara ketika ini. Tetapi, apakan daya. Ini adalah risiko yang harus dihadapi oleh pemian bola sepak profesional. Kami berharap agar Izzaq Frais Ramlan segera menemukan sentuhan berbisa beliau secepat mungkin.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *