Jangan Ambil Keputusan Terburu-Buru – KLFA

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menggesa pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk tidak terburu-buru mengenakan hukuman ke atas mereka dengan menyekat geranan tahunan persatuan itu.

MF mengambil langkah demikian setelah KLFA berdepan tunggakan gaji yang menyaksikan mereka kehilangan pemain terbaik pasukan, Syazwan Andik Ishak yang mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beliau dan menyertai Johor Darul Ta’zim.

Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan menjelaskan bahawa pihaknya tiada masalah memberi penjelasan lebih terperinci kepada MFL berhubung kelewatan dalam membayar gaji pemain.

Tambah Datuk Kamarudin, MFL juga perlu bertindak adil kerana bukan saja KLFA yang menghadapi tunggakan gaji. Ada beberapa pasukan lain yang turut berdepan dengan masalah sama.

“Tunggakan gaji itu memang KLFA akan selesaikan dan presiden pun sedang berusaha untuk lunaskan, cuma cepat atau lambat saja. Kita juga sedia memberi penjelasan kepada MFL.

“Tapi MFL tidak boleh terus nak ambil tindakan (terburu-buru). Jangan bila jadi (kes) macam itu terus nak potong (sekat geran tahuan). Sepatutnya guna budi bicara, semak dulu, datang jumpa KLFA dan tanya apa masalah sebenarnya.

“Betul pemain kata dua bulan tak bayar gaji, itu kita tak nafikan. Tapi cuba semak juga berapa persatuan lain yang tak bayar gaji kepada pemain, jangan tuju kepada KLFA saja.

“Adakah hanya KLFA yang tak bayar gaji lagi? Malah, dalam tempoh setahun dua ini KLFA tiada masalah bayar gaji, kita bayar ikut masa, cuma hujung tahun ini saja kita lewat sikit,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan pihaknya mempunyai kuasa untuk menyekat geran tahunan KLFA selaku pasukan Liga Super sebagai cagaran untuk melangsaikan segala tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Datuk Kamarudin turut mengulas mengenai perpindahan Syazwan Andik Ishak ke pasukan Johor Darul Ta’zim.

“Syazwan datang daripada JDT II pada 2017 sebelum menyertai Kuala Lumpur, jadi maknanya kita ambil masa setahun untuk gilap dia hingga mendapat perhatian semula dari JDT.

“Jadi kita tetap berbangga kerana ia membuktikan KLFA berjaya menaikkan semula nama dia selaku pemain muda yang berpotensi sepanjang bersama Kuala Lumpur,” jelasnya.

Baca Juga: Syazwan Andik Sah Kembali Ke JDT

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *