Jangan Lakukan Kesilapan Mudah – Dollah Salleh

Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Dollah Salleh menggesa para pemain skuad Harimau Malaya untuk tidak melakukan kesilapan mudah ketika berdepan pasukan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 Sabtu ini.

Menurut Dollah, kesilapan mudah yang dilakukan oleh anak buah beliau pada perlawanan akhir kedua edisi 2014 lalu telah menyebabkan Thailand bangkit dengan menjaringkan dua gol sekaligus meranapkan impian Malaysia untuk muncul juara buat kali kedua.

“Bukan mudah berdepan Thailand walaupun bermain di laman sendiri. Jadikan apa yang berlaku pada edisi 2014 sebagai pengajaran. Kita bermain dengan baik untuk mendahului 3-0 tetapi apabila kita buat kesilapan sikit sahaja, mereka hukum dan segalanya musnah,” kata Dollah Salleh menurut laporan Kosmo.

“Kali ini kita tidak boleh buat silap lagi. Pemain perlu berikan lebih daripada 100 peratus usaha dan kekal fokus selama 90 minit permainan. Singapura yang saya kira antara pasukan yang mempunyai barisan pertahanan terbaik dalam kempen kali ini juga mudah dibolosi Thailand,” tambah Dollah.

Pada perlawanan akhir kedua edisi 2014 lalu, Malaysia mendahului dengan tiga gol menerusi dua jaringan Safiq Rahim dan satu daripada Indra Putera Mahayuddin. Namun, kealpaan benteng pertahanan pada penghujung separuh masa kedua menyebabkan Charyl Chappuis dan Chanatip Songkrasin menjaringkan dua gol sekaligus memberikan kejuaraan keempat buat Thailand.

Apa yang pasti, para pemain boleh mengambil ikhtibar dengan apa yang boleh berlaku sekiranya kita memberikan ruang kepada pemain Thailand untuk melancarkan gerakan serangan.

Dalam saingan edisi kali ini, barisan serangan Thailand berada di kelas tersendiri meskipun mereka tidak membawa pemain bintang seperti Teerasil Dangda dan Chanatip Songkrasin. Ada Adisak Kraison dan Supachai Jaided yang menampilkan aksi yang bertenaga setakat ini.

Apa yang pasti, skuad Harimau Malaya perlu memperoleh kelebihan awal apabila beraksi di laman sendiri terlebih dahulu. Selain mencari bekalan selesa, pasukan negara juga perlu mengelakkan pasukan Thailand mendapatkan jaringan di tempat lawan pada Sabtu ini.

Baca Juga: Aidil Mahu Benteng Pertahanan Lebih Kukuh

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *